Home Kemanusiaan/Motivasi PILIHLAH PEMIMPIN YANG MEMPUNYAI RASA TANGGUNGJAWAB KEPADA RAKYAT

PILIHLAH PEMIMPIN YANG MEMPUNYAI RASA TANGGUNGJAWAB KEPADA RAKYAT

170
0

Tinggal beberapa jam sahaja lagi masyarakat Sungai Bakap akan menjalankan tanggungjawab mereka di dalam Pilihanraya Kecil demi memilih wakil pemimpin yang akan membawa suara mereka ke peringkat Kerajaan Persekutuan. Seramai 39,222 pengundi akan menjalankan tanggungjawab mereka dalam memilih wakil pemimpin demi kesejahteraan DUN mereka di masa hadapan.

Namun, suka untuk artikel mengingatkan kepada masyarakat Sungai Bakap agar memilih pemimpin yang mempunyai rasa tanggungjawab dan amanah kepada rakyat. Carilah pemimpin yang mempunyai rasa gerun di dalam hati saat dia dipertanggungjawabkan untuk memimpin rakyat. Gerun yang dimaksudkan itu adalah gerun untuk menjawab di pengadilan Allah SWT pada hari akhirat kelak akan tanggungjawabnya sepanjang menjadi pemimpin masyarakat. Apakah dia amanah? Apakah dia sudah cukup melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin atau adakah dia mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat yang dipimpinnya?

Dalam konteks memilih pemimpin, perlu diingatkan agar memilih pemimpin yang amanah, adil dan saksama dalam menyantuni masyarakat yang dipimpin. Setiap Muslim wajib memahami keutamaan dalam pemilihan seorang pemimpin untuk menjaga agama, negara dan bangsa agar pemimpin itu mampu memberi manfaat kepada semua makhluk sama ada rakyat Muslim atau bukan Muslim, bahkan haiwan, tumbuhan dan seluruh alam mendapat rahmat kebaikan seorang pemimpin.

Allah SWT mewajibkan kita memberi penyaksian (memilih) pemimpin yang adil seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Hendaklah kamu memberi penyaksian kepada mereka yang adil dan berpeganglah penyaksian itu (keputusan) kerana Allah semata-mata.” (QS Al – Talaq: 2).

Berdasarkan aspek ini, umat Islam boleh mengambil iktibar daripada kisah sahabat Nabi SAW, iaitu Abu Dzar RA. Dalam satu riwayat hadis, Abu Dzar meminta jawatan daripada Nabi SAW, namun Baginda tidak memberikan jawatan diminta. Malah, Rasulullah SAW bersabda:

“Engkau adalah insan lemah. Sesungguhnya ia (kepemimpinan) adalah amanah. Sesungguhnya ia pada hari kiamat adalah penyesalan, melainkan jika insan mengambilnya dengan haknya dan menunaikannya dengan sebaiknya”. (HR Muslim).

Riwayat hadis ini tidak bertujuan merendahkan kedudukan Abu Dzar. Akan tetapi apa yang yang digambarkan oleh Rasulullah SAW adalah ketegasan dan sikap integriti Baginda yang sangat tinggi sehingga sanggup tidak melantik insan tidak layak untuk mengisi jawatan, walaupun insan itu adalah sahabat baik Nabi sendiri. Bukan itu sahaja, Baginda juga ingin memperlihatkan bagaimana kepemimpinan seorang pemimpin yang perlu mempunyai dua sifat utama, iaitu kekuatan dan amanah serta berintegriti. Contohnya, kuat dalam sudut intelek, watak dan membuat keputusan. Kuat dalam merujuk sesuatu perkara kepada ahlinya dan tidak gopoh dalam membuat keputusan.

Maka dari itu, pilihlah pemimpin yang mempunyai sikap seperti di atas. Jangan memilih pemimpin yang asal boleh dan tangkap muat. Kelak kita juga yang menanggung akibatnya. Selamat mengundi diucapkan kepada masyarakat Sungai Bakap.

Sumber: Buku 40 Hadis Tentang Politik dan Kepimpinan, Dr Ahmad Sanusi Azmi