Di akhir zaman ini, media sosial menjadi tempat kebanyakan manusia menayangkan aib dan dosa sendiri tanpa sedar. Tidak kira aib dari segi apa pun, segalanya dibongkarkan demi kepentingan diri. Akan tetapi, apa yang lebih menyedihkan adalah orang yang dibongkarkan aib dan dosanya itu seolah – olah merasa bangga dengan tayangan tersebut malah dengan riaknya mengatakan ia bukanlah seratus peratus kesalahannya dan mengatakan keadaan yang menjadikannya begitu.
Di mana kewarasan akal kita apabila dengan bangganya mengaku melakukan dosa?! Fenomena berbangga dengan dosa, dan suka mendedahkan maksiat yang dilakukan oleh diri sendiri ini terkadang sudah menjadi satu perkara yang biasa buat sebahagian anak muda. Ketahuilah bahawa ia adalah satu indikator kebencian atau kemarahan Allah SWT terhadap seorang hamba. Bahkan perbuatan mendedahkan dosa sendiri seakan menunjukkan yang Allah SWT telah mencabut rasa malu dari diri mereka sehingga mereka tidak merasa segan silu untuk mendedahkan keaiban diri mereka.
Perkara ini pernah disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar di dalam karyanya yang berjudul Fath al-Bari. Kata Ibn Hajar:
“Barangsiapa yang dengan sengaja menzahirkan maksiat yang dilakukan oleh dirinya sendiri, atau menceritakan dosa mereka kepada orang lain, Allah sangat marah kepada mereka sehingga (dengan sebab itu) Allah tidak menutup keaiban mereka (iaitu keaiban mereka didedahkan, malah didedahkan oleh diri mereka sendiri).”
Bukan itu sahaja, perbuatan mendedahkan dosa diri sendiri ini adalah perlakuan yang akan menyukarkan manusia untuk mendapat pengampunan dari Allah SWT. Perkara ini disebutkan di dalam sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda:
“‘Setiap umatku akan mendapat pengampunan, kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan termasuklah mereka yang terang-terangan berbuat dosa ini seseorang yang berbuat (dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya, padahal Allah telah menutupi perbuatan tersebut. Yang mana dia berkata: ‘Hai Fulan, malam tadi aku telah melakukan begini dan begitu.’ Sebenarnya pada malam hari Tuhannya telah melindungi (aib) perbuatannya itu, tetapi pada pagi harinya dia sendiri menyingkap perbuatan (dosanya sendiri) yang telah ditutupi oleh Allah.” (HR Bukhari).
Oleh demikian, jangan sesekali kita merasa bangga dengan dosa yang dilakukan. Ini boleh jadi diri kita sudah jatuh hukum jauh daripada Allah SWT. Mahukah Allah SWT berpaling daripada kita? Sudah tentu tidak. Maka dari itu, segeralah melakukan taubat agar diri kita sentiasa berada di dalam peliharaan Allah SWT dan berbahagia di dunia mahupun akhirat. Jangan biarkan dosa makin terbuka, Allah SWT semakin murka.
Sumber: Facebook Dr. Ahmad Sanusi