Setiap manusia di muka bumi ini tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan kerana kita ini tidaklah sesempurna seperti junjungan besar Rasulullah SAW. Oleh sebab itu kita selalu diperingatkan untuk sentiasa memperbaiki diri kita walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, muhasabah diri adalah permulaan dalam usaha itu. Dalam erti kata lain, muhasabah adalah yakni upaya dalam melakukan penilaian dan evaluasi terhadap diri sendiri dalam melihat aspek kebaikan dan keburukan.
Dalam Islam, muhasabah ini bertujuan untuk memperbaiki hubungan kepada Allah SWT (habluminallah), hubungan kepada sesama manusia (habluminannas), serta hubungan dengan diri sendiri (habluminannafsi). Bagi seorang muslim, muhasabah adalah hal penting dan sebaiknya tidak boleh dilewatkan. Muhasabah diri juga adalah salah satu amalan yang disebutkan dalam al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman dalam surah Al Hasyr ayat 18 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Dengan melakukan muhasabah diri, manusia akan membuka hati dan menyedari segala dosanya dan memperbaiki hal tersebut. Selain itu, muhasabah juga akan memberi perspektif baharu dalam melihat setiap perkara yang berlaku dalam hidup. Kebiasaannya, muhasabah diri boleh dilakukan sebelum tidur dengan merenung kembali perbuatan dalam seharian. Maksudnya adalah dengan menilai semula adakah sudah berbuat kebaikan atau belum, atau adakah terlanjur melakukan kesilapan. Selepas melakukan penilaian, lakukan solat taubat bagi memohon keampunan atas kesilapan yang dilakukan (sebaiknya lakukan di sepertiga malam). Hal ini kerana Muslim yang taat akan bertaubat dan tak mengulangi kesalahannya. Rasulullah SAW bersabda:
“Menyesal adalah taubat.” (HR Ibnu Majah).
Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik selagi hayat dikandung badan. Seimbangkanlah antara urusan duniawi dan ukhrawi demi mendapatkan keredhaan Allah SWT dan ganjaran syurga di akhirat sana.
Sumber: Portal Majoriti (https://majoriti.com.my/mukmin/2021/11/09/muhasabah-diri-awal-merubah-diri-ke-arah-lebih-baik), 9 November 2021