Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH KESIHATAN DENGAN SEBAIK MUNGKIN KERANA IANYA SALAH SATU DARI URUSAN AGAMA

JAGALAH KESIHATAN DENGAN SEBAIK MUNGKIN KERANA IANYA SALAH SATU DARI URUSAN AGAMA

42
0

Nikmat kesihatan merupakan anugerah daripada Allah SWT. Tubuh badan yang sihat membolehkan seseorang itu mampu untuk menunaikan kewajipan dunia dan agamanya dengan cara yang paling sempurna. Oleh sebab itulah agama Islam memerintahkan setiap individu agar sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan dan mengamalkan gaya hidup sihat serta melarang daripada melakukan sesuatu perkara yang boleh membinasakan dirinya. Firman Allah SWT:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, danjanganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, danberbuatbaiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” (QS Al – Baqarah: 195).

Malah, Rasulullah SAW juga menggesa umatnya agar menggunakan nikmat kesihatan dan tidak mensia-siakannya. Ini sebagaimana sabda Baginda:

“Ambillah peluang daripada sihat kamu (sebelum) masasakitmu, dan daripada hidup kamu (sebelum) masa kematianmu.” (HR Bukhari dan Muslim).

Cubalah kita renungkan, apakah natijahnya apabila tubuh badan sudah tidak sihat dan cergas? Mampukah amal ibadat dapat dilakukan dengan sempurna? Bolehkah satu-satu pekerjaan untuk urusan kehidupan duniawi dapat dilangsungkan dengan sebaik-baiknya? Sudah tentu tidak. Jadi, kesihatan adalah ‘harta tidak ternilai’ harganya yang dikurniakan oleh Allah SWT. Untuk itu, agama Islam Islam menganjurkan kita agar mengamalkan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat ini boleh dilakukan dengan cara bersederhana dalam pengambilan makanan dan minuman, memilih hanya makanan yang halal lagi baik untuk kesihatan dan melazimi aktiviti riadah.

Selain itu, ia juga dapat diperolehi dengan melakukan ibadah-ibadah khusus seperti berwuduk dan mengerjakan solat kerana berwuduk dan mengerjakan solat itu didahului dengan aktiviti membersihkan tubuh badan. Malah mengekalkan persekitaran yang bersih juga termasuk dalam gaya hidup sihat yang dituntut oleh Islam. Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya agar menjaga kesihatan serta terhindar daripada sebarang penyakit yang memudaratkan. Perkara tersebut penting lantaran ketahanan fizikal dan mental dapat mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dan tentangan dalam kehidupan. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding orang beriman yang lemah.”(HR Muslim).

Ayuhlah kita umat Islam mengamalkan gaya hidup yang sihat. Badan sihat, otak cerdas! Nak melaksanakan ibadah juga senang.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang