Home Kemanusiaan/Motivasi SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN 2024 JAUHI BUDAYA JAHILIAH DAN BENTUKLAH MASYARAKAT MASA DEPAN...

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN 2024 JAUHI BUDAYA JAHILIAH DAN BENTUKLAH MASYARAKAT MASA DEPAN BERAKHLAK MURNI

51
0

Merdeka bererti bebas daripada penjajahan Barat dan bebas daripada ideologi mereka. Sesuatu yang lebih penting ialah bebas daripada ‘jahiliah’. Tanggungjawab mempertahankan negara adalah tanggungjawab semua. Setiap kita sewajarnya menginsafi diri dan berusaha membuat persediaan untuk mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan negara. Semangat jihad dan kepahlawanan perlu ditanam di dalam setiap jiwa dan sanubari umat Islam agar perasaan sayangkan negara serta tanah air sentiasa membara.

Kekuatan sesebuah negara terletaknya pada kekuatan rakyat yang mempertahankan tanah air ini. Kuat atau lemahnya rakyat atau bangsa akan datang menjadi petanda awal kepada kejayaan negara dan ummah pada masa depan. Sudah terlalu banyak insiden dari segi akhlak, adab dan moral yang berlaku di negara ini. Perlumbaan haram, penyalahgunaan dadah dan gejala buli yang semakin meningkat, merisaukan semua pihak tentang masa depan negara di tangan mereka. Menurut Saidina Abi bin Abi Talib:

“Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Kita tentu boleh memahami apa yang dimaksudkannya yang seakan memberikan isyarat supaya tidak memandang remeh urusan memberikan pendidikan ilmu dan asuhan akal budi kepada generasi akan datang. Oleh itu, sebarang kejadian yang mencerminkan akhlak dan adab rendah seharusnya dirisaukan dan diambil langkah untuk menanganinya. Ulama kontemporari terkemuka, Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi juga pernah berkata:

“Apabila kita hendak melihat bentuk negara dan ummah pada masa hadapan, lihatlah generasi belia (generasi muda) pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini daripada mereka yang berakhlak baik dan berhemah tinggi, tentunya negara dan ummah pada masa mendatang adalah sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.”

Untuk mempertahankan negara, kita mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal, dan itulah yang generasi masa kini dan masa depan seharusnya tahu dan mengambil maklum akan perkara itu. Dunia semakin hari semakin mencabar, para pemimpin silih bertukar ganti. Sifat kerohanian yang mantap berteraskan sifat mahmudah dan keimanan kepada Allah SWT, umpamanya melaksanakan segala perintah Allah SWT, meninggalkan segala laranganNya, berdisiplin, amanah, jujur ikhlas dan sebagainya perlu diterapkan mulai sekarang. Hal ini kerana atas dasar inilah kedaulatan dapat dikekalkan dan akidah umat Islam terpelihara dan sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah SWT.

Justeru, tanggungjawab mempertahankan negara mestilah diasaskan di atas keimanan kepada Allah SWT mulai dari membangunkan generasi akan datang melalui ilmu pengetahuan, adab, akhlak dan nilai kemanusiaan. Sekiranya semua ini dapat dibentuk, tidak mustahil kita dapat menjauhi akhlak “jahiliah” dan negara kita yang tercinta ini dan ummah keseluruhannya menjadikan generasi muda hari ini sebagai pewaris negara yang terbilang.

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG KE – 67!

“Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (25 Julai 2024 & 20 Ogos 2024)