Berpaling dari agama Islam kepada agama kufur sama ada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur sama ada secara persendaan, ingkar atau iktiqad adalah termasuk dalam kategori murtad.
Pengaruh negatif rakan sebaya akibat kurangnya kasih sayang keluarga antara satu daripada empat faktor utama umat Islam di Malaysia keluar daripada Islam. Antara faktor lain ialah kelemahan pegangan terhadap agama Islam yang disebabkan oleh kurang tarbiah, didikan dan asuhan daripada ibu bapa dan keluarga. Pengaruh media massa yang menghidangkan pelbagai budaya dan gaya hidup yang menjurus kepada gejala murtad juga menjadi faktor murtad. Selain itu, masalah percintaan, perkahwinan dan penceraian juga antara faktor yang menyebabkan murtad dalam kalangan umat Islam.
Walau apa pun alasan seseorang individu itu melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad, namun zahir hukum syarak adalah jelas bahawa perkataan dan perbuatan kufur boleh membawa kepada murtad yang sangat bahaya. Namun, untuk menghukum seseorang yang keluar daripada Islam bukanlah mudah kecuali apabila telah lapang dadanya dengan kekufuran dan tenang hatinya setelah masuk dalam kekufuran dengan sebenarnya.
Oleh kerana niat di hati adalah suatu yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT, maka tidak dapat tidak mestilah jelas sama ada perbuatan atau perkataan seseorang individu itu menyatakan kekafirannya yang tidak boleh dipertikaikan lagi, maka barulah boleh dijatuhkan hukuman di bawah kesalahan jenayah syariah. Tidak akan jatuhnya hukuman selagi terdapat keraguan untuk mensabitkan niat sebenar individu tersebut untuk murtad.
Justeru itu, peganglah hati dengan keimanan yang teguh. Nescaya kepastian dengan kebenaran Islam itu memandu kita ke jalan yang lurus tanpa was-was meskipun pelbagai ancaman mendatang.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia