Home Kemanusiaan/Motivasi BERSANGKA BAIKLAH ANTARA SESAMA MUSLIM AGAR SILATURAHIM SENTIASA KUKUH

BERSANGKA BAIKLAH ANTARA SESAMA MUSLIM AGAR SILATURAHIM SENTIASA KUKUH

782
0

Firman Allah SWT:

Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (QS al-Hujurat:12)

Daripada ayat di atas dapat kita simpulkan bahawa Allah SWT sememangnya memerintahkan kita sebagai umat Islam agar sentiasa bersangka baik dengan semua makhluk di dunia ini. Berbaik sangka sangat dituntut dalam Islam kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sifat itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadi fitnah yang membawa kepada dosa besar.

Antara kelebihan yang dapat kita terima sekiranya kita mengamalkan sikap bersangka baik adalah:

  • Hubungan persahabatan mahupun persaudaraan sesama Islam menjadi lebih baik dan semakin kuat serta utuh.
  • Dapat mengelakkan masyarakat berpecah-belah yang hanya akan merugikan anggotanya dan negara.
  • Dapat menghasilkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Ummah yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang berjaya, akan menguntungkan semua umat Islam termasuk diri sendiri.

Akan tetapi, jangan pula kita sentiasa bersangka baik terhadap perkara-perkara secara terang-terangan maksiat yang berlaku di hadapan mata. Jika tidak kita juga akan turut berkongsi ‘saham’ dan tidak terlepas daripada menanggung dosa kemaksiatan orang terbabit.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah mencegah dengan tangan (kekuasaan); jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan) dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (tidak senang, setuju dan reda). Dan itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Justeru, berbaik sangka terhadap sesama makhluk lebih mulia daripada bersangka buruk yang boleh mendatangkan dosa. Namun, perlu diingat sangka baik perlu diimbangi sikap berhati-hati. Seperti mana perlunya berbaik sangka, begitulah juga kita perlu berhati-hati agar sifat baik itu tidak dieksploitasi musuh atau orang berkepentingan.

Sumber: Berita Harian “Bersangka baik eratkan silaturahim” (13 April 2018)