Home Kemanusiaan/Motivasi KEKALKAN KEHARMONIAN DAN ELAKKAN PERPECAHAN DI KALANGAN MASYARAKAT DEMI MEMPERKUKUHKAN KEDAULATAN DAN...

KEKALKAN KEHARMONIAN DAN ELAKKAN PERPECAHAN DI KALANGAN MASYARAKAT DEMI MEMPERKUKUHKAN KEDAULATAN DAN KEAMANAN NEGARA

1487
0

Bak kata orang-orang tua “bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora” dan “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita manusia biasa”. Memang benar, hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai latar belakang agama, bangsa dan kepercayaan kadang kala perlu melalui ujian dan badai yang tidak terduga. Akan tetapi, adakah kita harus berpecah sebagai satu masyarakat?

Firman Allah SWT:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS al-Hujurat: 13)

Firman Allah SWT bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (QS al-Maidah: 8)

Sebenarnya, dalam berhadapan dengan isu sebegini, kita terlalu melebihkan emosi sehingga melupakan perkara yang lebih penting iaitu keadilan. Keadilan yang perlu kita kembalikan kepada yang berhak. Adilkah kita jika bermusuh dengan keseluruhan bangsa kerana kesalahan segelintir yang alpa? Tidak adakah jasa dan kebaikan yang boleh kita kongsi sehingga api permusuhan perlu dinyalakan?

Jangan kita mencipta jurang antara kaum dengan mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati mana-mana kaum kerana Malaysia bukan milik satu kaum saja tetapi milik kita semua. Kita perlu meraikan dan menghargai titik persamaan yang ada dalam kepelbagaian budaya, adat resam, agama dan bahasa, sekali gus menjadi pengukuh kepada perpaduan negara. Semangat tolak ansur, muhibah dan bersatu-padu antara semua kaum adalah petua utama untuk memastikan negara kekal stabil, aman dan makmur.

Justeru, jangan biarkan hubungan yang sudah terjalin sekian lama ini terlerai kerana adanya syak wasangka sesama kita. Kekalkan keharmonian yang telah tersimpul rapi sejak dahulu dan elakkan sebarang perpecahan sesama kita. Dengan cara itu sahaja kita dapat mengelakkan musuh negara dari terus menjajah minda kita.

Sumber: Berita Harian “Kekalkan keharmonian dan perpaduan” (31 Ogos 2018)