Home Ektremisme/radikalisme TARIAN THEYYAM HINDU MELAUNGKAN AZAN HENTIKAN PROVOKASI, JAGA SENSITIVITI

TARIAN THEYYAM HINDU MELAUNGKAN AZAN HENTIKAN PROVOKASI, JAGA SENSITIVITI

30
0

Kewujudan media sosial tidak dinafikan kebaikannya untuk membuka jaring sosial yang lebih besar ke seluruh dunia. Pengguna boleh berhubung dengan sesiapa sahaja tanpa sekatan, berkongsi maklumat tanpa tapisan dan melakukan penyebaran secara berleluasa. Kesannya, maklumat tersebut kekal di alam maya dan pengguna boleh mencapai maklumat tersebut bila-bila masa sahaja.

Sebagaimana munculnya kembali sebuah video yang telah ditonton berjuta kali bersama dakwaan palsu yang menunjukkan penganut Hindu melaungkan azan di sebuah kuil di Malaysia. Sedangkan ianya adalah tarian ritual Theyyam yang dilakukan oleh kaum Hindu kasta rendah di bahagian Utara Karela, India.

Tarian ritual ini mempunyai lebih daripada 400 jenis koreografi. Apa yang dipersembahkan seperti di dalam video viral berdurasi satu minit dan 30 saat tersebut adalah bahagian dari Theyyam Muslim. Bagi mengadaptasi kehidupan masyarakat Muslim, penghibur tarian ritual Theyyam Muslim ini telah memainkan watak Muslim dan melakukan ritual Islam termasuklah melaungkan azan.

Setelah diteliti, penyebaran video asal adalah pada 18 DIS 2022, di Kerala, India, ketika persembahan itu dilakukan. Kemunculan semula video tersebut beserta dakwaan palsu yang mengaitkan dengan kaum Hindu di Malaysia dilihat sebagai cubaan provokasi untuk melagakan antara kaum-kaum yang pelbagai di Malaysia.

Sensitiviti perkauman seharusnya dijaga kerana keharmonian dalam masyarakat bukanlah mudah dicapai seperti sekarang. Justeru itu, masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah menyebarkan maklumat-maklumat palsu yang tidak diselidiki dahulu kesahihannya, kerana akibatnya bukan sahaja pada diri sendiri, malah bakal menjelmakan malapetaka pada keharmonian serta keselamatan negara. Renung-renungkan.

Sumber: semakanfakta.afp.com dan Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- MAC 2025