Home Kemanusiaan/Motivasi NILAI NYAWA SANGAT MURAH DI AKHIR ZAMAN- TERIMA HUKUMAN DUNIA TIDAK SEMESTINYA...

NILAI NYAWA SANGAT MURAH DI AKHIR ZAMAN- TERIMA HUKUMAN DUNIA TIDAK SEMESTINYA GUGUR DOSA DI AKHIRAT

27
0

Hukuman yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) daripada hukuman mati kepada hukuman 18 tahun penjara sememangnya menyentak hati ramai rakyat Malaysia. Rata – rata mereka tidak bersetuju dan tidak kurang juga ramai pihak yang menghujat para hakim yang mengendalikan kes ini dengan mengatakan mereka tidak adil.

Tidak mengapa, itulah adat hidup di dunia. Kebarangkalian untuk mendapatkan keputusan yang sangat tepat dan adil itu hampir tidak kelihatan serta mustahil untuk diadakan. Namun dalam Islam, menerima hukuman di dunia tidak semestinya menggugurkan dosa seseorang di akhirat, seperti yang diperkatakan oleh Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Hal ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor iaitu yang pertama jika hukuman di dunia menepati keadilan syariah, ada kemungkinan dosa itu dihapuskan dan faktor kedua ialah jika keluarga mangsa memaafkan, ia boleh menjadi sebab bagi Allah SWT mengampunkan pesalah. Rasulullah SAW bersabda:

“Hak-hak sesama manusia akan diselesaikan pada hari kiamat, sehingga kambing yang tidak bertanduk akan dibalas untuk (kezaliman) kambing bertanduk.” (HR Muslim).

Islam mengharamkan sebarang kemudaratan, kezaliman, penganiayaan dan pembunuhan ke atas orang lain tanpa hak. Ia termasuk dalam dosa besar malah dikenakan hukuman Qisas iaitu bunuh balas jika sah disabitkan pembunuhan dengan sengaja. Walau apa jua alasannya, tindakan membunuh nyawa seseorang tanpa hak tetap diharamkan oleh Allah SWT. FirmanNya:

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).” (QS Al – Isra’: 33).

Oleh itu, hargailah nyawa setiap manusia. Tidak ada seorang pun daripada kita yang mahu kehilangan ahli keluarga di tangan orang lain. Jadi, sudah menjadi kewajipan kita untuk memelihara nyawa sesama manusia dan memastikan kita jauh dari jenayah dan dosa yang tidak mungkin diampunkan oleh Allah SWT kecuali dengan meminta maaf sesungguhnya kepada waris mangsa.

Sumber: The Merdeka Times