Bulan Ramadan adalah bulan yang melatih diri kita untuk sentiasa bersederhana dalam segala hal. Baik dari segi perbelanjaan barangan mahupun pembelian makanan yang enak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara kita adalah salah satu negara yang meriah dengan jualan bazar Ramadan di seluruh negara berbanding negara – negara lain. Tidak hanya itu, hotel -hotel, restoren – restoren juga tidak ketinggalan untuk mengadakan buffet Ramadan untuk umat Islam menikmati juadah yang enak setelah seharian berpuasa.
Namun, sangat menyedihkan apabila “pesta” makanan itu menjadi asbab untuk kita menjadi tamak dan melakukan pembaziran. Berdasarkan data terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berkenaan dengan pembaziran makanan khususnya di bulan Ramadan, data terbaru setakat tahun 2023 menunjukkan jumlah makanan yang dibazirkan adalah sebanyak 90,000 tan. Ia juga menunjukkan peningkatan sebanyak 15 hingga 20 peratus. Jumlah yang sangat menyedihkan bukan?
Sikap sesetengah umat Islam yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat tidak dapat dihayati dengan sempurna. Islam tidak melarang umatnya membeli makanan. Cuma Islam mengajar kita supaya berbelanja secara sederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan ‘hidup untuk makan’, tetapi ‘makan untuk hidup’. Apabila konsep ‘hidup untuk makan’ dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlaku kelalaian hingga melampaui batas berbelanja.
Pembaziran satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah SWT mengumpamakan orang yang membazir itu saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (QS Al – Isra: 27).
Umat Islam perlu sedar puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah SWT. Hal ini kerana antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.
Oleh itu, segala perbuatan yang menjurus kepada amalan pembaziran baik dalam apa bentuk sekalipun perlu dihindarkan. Semoga Ramadan pada kali ini dapat mendidik jiwa perokok ke arah meninggalkan tabiat itu agar pembaziran dapat dibasmi sama sekali.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)