Gerakan Islam liberal bukan lagi satu fenomena baharu, namun ia telah wujud sejak zaman pembaharuan pada awal abad ke-19. Golongan ini menganggap fahaman ini muncul bagi menjadi neraca untuk menyeimbangkan wacana kewajipan dan kebebasan dalam Islam.
Hal ini kerana, menurut tokoh-tokoh Islam liberal seperti Ulil Absar Abdala, menyatakan bahawa diskusi berkenaan Islam terlalu dipenuhi dan didominasi subjek fiqh iaitu lebih memberi penekanan pada soal kewajipan dan halal haram, sehingga mengecilkan ruang bagi perbincangan tentang hak asasi dan kebebasan.
Ulil Absar Abdala turut menyanggah konsep penciptaan manusia untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan kerana konsep ini dianggap memberikan gambaran bahawa manusia dan Tuhan itu adalah berseteru antara satu sama lain, maka manusia mesti ditundukkan. Beliau menyatakan bahawa tujuan tertinggi penurunan agama ialah bagi mengangkat martabat kemanusiaan kerana fokus pertama dalam agama ialah manusia itu sendiri, bukan semata-mata Tuhan.
Sedangkan Islam turut memperjuangkan hak asasi manusia dan hak kebebasan. Namun disebabkan Islam liberal melakukannya dengan cara yang bercanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama dengan membuka pintu ijtihad seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja, dan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para ulama sejak zaman berzaman (ijma’) juga cuba dirungkaikan atas nama ijtihad. Justeru itu, para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah memutuskan bahawa pemikiran Islam liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam antaranya atas dasar-dasar berikut:
i. Mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan hadis;
ii. Kesilapan pada menempatkan peranan akal bukan pada tempatnya; dan
iii. Menilai semula konsep hukum-hukum ‘qathie (nas yang jelas) dan zanni (nas yang tidak jelas)’ yang telah disepakati para ulama
Sumber: al-Bayan Siri 12- SS Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri