Pada Ramadan tahun 2 Hijrah, Allah SWT menurunkan wahyu kewajipan berpuasa. Dalam masa yang sama, orang Yahudi mendakwa mereka juga berpuasa mengikut ajaran Nabi Musa AS. Walhal, tidak dapat dipastikan apakah kaedah itu menepati puasa Nabi Musa AS atau ianya telah diubah suai.
Imam Qurtubi ada menghuraikan bahawa Yahudi dan Nasrani juga pada asalnya telah difardhukan untuk berpuasa di Bulan Ramadan. Walaupun konsep berpuasa adalah sama dengan umat Islam iaitu menahan diri daripada makan dan minum, namun cara dan tujuannya yang berbeza menyebabkan mereka dikategorikan sebagai sesat dari ajaran kebenaran.
Misalnya mereka berpuasa sempena memperingati sejarah silam Yahudi dan memperingati tokoh-tokoh mereka yang sudah pergi. Kaedah berpuasa juga dalam keadaan yang melampau. Contohnya, mereka berpuasa sehari suntuk dalam keadaan tidak berpakaian, duduk di tengah panas, melumurkan kepala mereka dengan tanah dan tidak mandi. Sebahagian daripada golongan tersebut turut memaksa binatang ternakan untuk berpuasa.
Walaupun secara dasarnya puasa itu ialah menahan diri daripada makan dan minum, namun Nabi Muhammad SAW membezakan puasa orang Islam dan puasa orang Yahudi dengan makan di waktu sahur dan menyegerakan berbuka beserta niat berpuasa kerana Allah SWT.
Justeru itu, jangan terkeliru dengan amalan-amalan yang nampak sama pada zahirnya, tetapi beza pada tujuan dan pelaksanaannya. Sesungguhnya segala ibadah yang dilakukan termasuklah ibadah berpuasa semuanya bertujuan untuk mengikut perintah Allah SWT dan berharap untuk mendapat ganjaran pahala daripadaNya.
Sumber: Ketua Penerangan Dewan Ulama