Home Kemanusiaan/Motivasi ADAB MENYEBAR BERITA DI MEDIA SOSIAL SELIDIK MAKLUMAT YANG DITERIMA SEBELUM DISEBARKAN...

ADAB MENYEBAR BERITA DI MEDIA SOSIAL SELIDIK MAKLUMAT YANG DITERIMA SEBELUM DISEBARKAN (TABAYYUN) SUPAYA TIDAK MENJADI PENYEBAR FITNAH YANG DILAKNAT OLEH ALLAH SWT

1127
0

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (QS al – Hujurat: 6).

Perkataan ‘tabayyun’ diambil dari Bahasa Arab yang membawa maksud mensabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Pada hari ini, kita sering kali dilimpahi dengan maklumat dan berita yang diperoleh melalui pelbagai saluran seperti surat khabar, majalah, WhatsApp, Facebook dan sebagainya. Maklumat atau berita yang diperoleh itu adakalanya membawa kepada perselisihan dan ada juga yang menyatakan kebenaran. Namun secara pasti, limpahan maklumat pada hari ini yang mudah untuk diperoleh, tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya. Segala berita atau perkhabaran yang diperoleh tanpa asas kebenaran dan kepastian yang jitu, dapat mengundang kepada permusuhan dan perselisihan sesama kita.

Manusia pada hari ini lebih mempercayai apa yang dipertontonkan di laman sosial berbanding untuk mencari tahu punca dan keadaan sebenar perkara itu terjadi. Kegagalan atau kecuaian dalam memahami keperluan tabayyun boleh membuka pintu fitnah yang akhirnya akan meruntuhkan keharmonian sesebuah masyarakat. Cuba kita lihat keadaan hari ini, mengapa ada sesetengah pihak yang lebih suka hidup berpuak-puak seolah-olah keadaan kembali kepada zaman jahiliyyah dahulu? Kerana tidak adanya ‘tabayyun’ di kalangan masyarakat. Akibat khabar angin yang dibawa demi melaga-lagakan antara satu pihak dengan pihak yang lain, maka masyarakat Islam pada hari ini hidup penuh dengan kemunafikan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencatatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.” (HR Ahmad).

Ingatlah, ‘tabayyun’ itu penting dalam kehidupan umat Islam agar kesatuan dan tali persaudaraan sesama ummah tidak putus. Di luar sana, musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memutuskan tali silaturahim kita agar kita kelihatan lemah dan tidak mampu untuk melawan mereka. Mereka tahu mereka akan kalah jika ukhuwah sesama umat Islam sentiasa kuat dan utuh.

Oleh itu, janganlah kita percaya bulat-bulat dengan apa yang disebarkan sebaliknya kita perlu menyelidiki perkara atau berita yang disebarkan dengan merujuk daripada pelbagai sumber terutamanya sumber yang sahih bagi menentukan kebenarannya. Seperkara lagi, jangan kita pula turut sama menyumbang saham dosa dengan menjadi penyebar fitnah lantaran sesuatu berita yang belum sahih ini.

Oleh itu penelitian di dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya. Ini supaya dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran berita palsu dan perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan orang yang pendusta. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).” (HR Muslim)

Sumber: Bayan Linnas siri 184: “Tabayyun dalam penerimaan dan penyampaian berita”, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.