Home Kemanusiaan/Motivasi BOLEHKAH PUASA QADA DAN PUASA SUNAT SYAWAL DIGABUNGKAN?

BOLEHKAH PUASA QADA DAN PUASA SUNAT SYAWAL DIGABUNGKAN?

72
0

Setelah sebulan kita meraikan bulan Ramadan, kita meraikan pula kedatangan bulan Syawal sebagai tanda kemenangan. Akan tetapi, ada sesetengah daripada kita ingin melakukan ibadah sunat dengan berpuasa enam. Namun, ada di antara mereka juga yang mempunyai puasa ganti yang harus ditunaikan. Persoalannya, bolehkah puasa qada (ganti) digabungkan sekali dengan puasa sunat enam Syawal?

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 3 Jun 2019, barangsiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran, maka wajib ke atasnya menqadakan puasa serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diikuti dengan puasa qada. Namun, sekiranya seseorang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak), maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qada kerana waktu puasa qada adalah luas (muwassa).

Fuqaha dalam Mazhab Syafie membahaskan isu menggabungkan niat puasa qada dan puasa enam Syawal seperti berikut:

Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qada di bulan Syawal, adakah berhasil qada puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal? Imam Ramli (1424H) Rahimahullahu Taala dalam kitab Fatawa al-Ramli fi Furu’ al-Fiqh al-Syafie menjawab:

“Puasa qada Ramadannya diterima walaupun dia menggabungkan niat puasa qada Ramadan dengan puasa yang lain dan diterima pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).”

Manakala Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj juga menjelaskan bagi seseorang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib:

“Jika sesiapa yang berniat puasa qada pada hari Isnin contohnya maka jika dia berniat sunat puasa pada hari Isnin dengannya (puasa qada) maka sah kedua-duanya dan diberi ganjaran melalui kedua-duanya. Jika tidak (diniatkan sekali) maka puasa yang kedua tidak diganjari pahala tetapi gugur tuntutannya.”

Berdasarkan kepada kedua-dua pandangan di atas, mazhab Syafie mengharuskan gabung niat puasa qada dan puasa sunat serta diganjari pahala dari kedua-dua puasa tersebut. Namun begitu, Imam Ramli dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj menjelaskan bahawa konsep gabungan dua puasa (sunat dan wajib) dalam satu hari tidak menghasilkan pahala yang sempurna. Ini kerana adalah lebih afdal seseorang itu melaksanakan secara berasingan, kata beliau:

“Sekiranya berpuasa di bulan syawal, puasa qada, nazar atau selain daripada keduanya seperti berpuasa pada hari asyura (digabungkan dengan puasa wajib), maka dia mendapat pahala puasa sunat itu sepertimana yang difatwakan oleh ayahanda (bapa kepada Imam ar-Ramli). Sepertimana pandangan alBarizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Soleh al-Hadrami dan selain mereka tetapi dia tidak mendapat pahala yang sempurna disebabkan perkara yang dituntut (puasa yang berasingan dengan niat yang khusus), lebih-lebih lagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan kemudian menggantikannya di bulan Syawal. Ini kerana ia tidak bertepatan dengan makna sebelum ini.”

Dalam perkara ini, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal.Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan