Setiap tahun ada sahaja kerenah golongan yang mengaku Islam tetapi menyambut Syawal lebih awal dari masyarakat Islam yang lain. Misalnya jemaah Tarekat Naqsyabandiyah di Padang, Sumatera Barat dan jemaah Masjid Aolia di Yogyakarta, Indonesia. Memandangkan mereka turut mula berpuasa awal, maka mereka merasakan tindakan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri awal adalah berpatutan.
Bagi jemaah Tarekat Naqsyabandiyah, pengiraan tarikh hari raya adalah berdasarkan hisab Munjid, manakala bagi jemaah Masjid Aolia menyambut raya awal kerana keyakinan dan perjalanan spiritual. Imam masjid tersebut mendakwa beliau tidak menggunakan perhitungan untuk menentukan Aidilfitri, tetapi terus membuat panggilan telefon kepada Allah SWT untuk mendapat jawapan. Imam tersebut yang mesra dengan panggilan Mbah Benu turut mendakwa, tidak perlu untuk menyalahkan orang lain, hal ini adalah antara dia dengan Tuhan dan adalah tidak penting untuk puasa atau raya awal atau lambat kerana yang penting adalah menjaga kesatuan dan jangan menyalahkan yang lain.
Menurut ajaran Islam sebagaimana yang diputuskan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, hanya para nabi dan rasul mempunyai kebolehan untuk bercakap dengan Allah SWT. Selain daripada itu adalah mereka yang berdusta. Bagi cerapan anak bulan juga bukanlah boleh dibuat oleh sembarangan orang, hanya mereka yang layak dengan ilmunya seperti para Sohibus Samahah Mufti Negeri bersama jawatankuasanya yang berkelayakan untuk mencerapnya di lokasi yang telah ditetapkan.
Justeru itu, umat Islam perlu berhati-hati dengan apa jua amalan dan ajaran sesat yang semakin berleluasa kerana ia boleh membawa syirik kepada Allah SWT. Nauzubillahi min zalik.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- APR 2025 dan Harian Metro