Home Kemanusiaan/Motivasi TANGANI SALAH FAHAM JIHAD ELAK GENERASI MUDA TERSESAT

TANGANI SALAH FAHAM JIHAD ELAK GENERASI MUDA TERSESAT

1129
0

Mengikut laporan e-penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kira-kira 60 orang rakyat Malaysia dilaporkan berada di Syria dan menyertai IS. Manakala seramai 66 orang telah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Pencegahan 2013 (SOSMA) sebagai usaha mengekang keterlibatan rakyat Malaysia bersama IS. Rata-rata daripada mereka merupakan golongan belia yang masih mentah dan masih menuntut ilmu. Jiwa dan akal mereka di’basuh’ oleh pihak-pihak militan dengan mengatakan perperangan adalah jalan benar untuk mendapatkan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Antara faktor yang mendorong mereka menyertai kumpulan itu adalah disebabkan taksub dan kurangnya ilmu. Mereka juga dibakar semangat berkobar-kobar dengan laungan jihad serta anggapan tindakan IS sebagai berani kerana mencabar kuasa besar seperti Israel dan Amerika. Selain itu, lambakan ‘posting’ mengenai jihad di laman sosial tanpa tapisan juga antara penyebab mengapa golongan belia terpengaruh dengan dakyah kumpulan militan.

Hakikatnya, ini semua tipu daya dan manipulasi pihak-puak militan dengan tujuan untuk kepentingan perjuangan dan cita-cita mereka. Menurut Ketua Rabitah Ulama Idlib di Syria, Sheikh Abdullah Musthafa Rahhal, ramai generasi muda dari Malaysia dan Indonesia yang terbabit berjihad di Syria tidak mengikut cara jihad dalam Islam. Mereka tidak benar-benar faham bahasa Arab dan keadaan semasa di sana sehingga mendedahkan mereka kepada manipulasi kumpulan IS yang sebenarnya datang dari luar Syria atas sebab perjuangan yang kabur walaupun mendakwa atas nama jihad.

Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana menghalalkan darah sesama umat Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap Muslim dengan Muslim lainnya adalah haram darahnya, haram hartanya dan haram kehormatannya” (HR Muslim).

Oleh itu, satu kefahaman yang betul perlu diterapkan oleh semua pihak khasnya ulama, pendakwah dan asatizah terhadap penggunaan istilah jihad supaya tidak disalahertikan sebagai punca keganasan.

Sehubungan itu, semua pihak harus memainkan peranan dalam membentuk jati diri generasi muda agar tidak terpengaruh dengan dakyah songsang puak-puak militan. Hadkan atau tapis sebarang bentuk jenis iklan berkaitan perperangan di laman sosial. Bukan itu sahaja, Ibu bapa juga harus mempersiapkan diri dengan ilmu jika mahu bersaing dengan anak yang terdedah dengan ‘kebanjiran maklumat’ di media sosial sekarang ini. Ini penting dalam memastikan kawalan terhadap ‘kebanjiran maklumat’ itu dapat disekat sebelum ‘memakan’ diri sendiri.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Berita Harian “Tangani salah faham jihad elak generasi muda tersesat” (17 Mac 2015)