Pendedahan terbaru menunjukkan Negeri Sembilan antara negeri yang dikesan menjadi lokasi persinggahan beberapa kumpulan ajaran sesat memandangkan kedudukan negeri tersebut yang strategik menghubungkan laluan dari Selatan, Timur, Barat dan Utara Semenanjung Malaysia.
Perkara ini dipantau oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang turut menjalankan program advokasi dan bimbingan akidah bagi memulihkan individu yang telah terpesong agamanya. Kebanyakan kumpulan ini merekrut pengikut melalui kenalan rapat atau media sosial, malah ada yang mewajibkan sumpah setia kepada ketua kumpulan sebelum diterima ahli.
Antara contoh ajaran sesat yang didakwa masih aktif dan berada di dalam pantaun JHEAINS termasuklah Millah Abraham, ajaran Cahaya The Ahmadi Religion, Hizbut Tahrir, GISB Holding Sdn Bhd, Asmaul Husna Wan Maseri serta aktiviti tilik Nasib yang kebanyakannya tersebar secara tertutup dalam kalangan keluarga atau kenalan.
Fenomena ini membuktikan bahawa ajaran sesat sentiasa muncul dalam bentuk baru, kadang-kadang menggunakan nama Islam bagi mengelirukan masyarakat. Justeru itu, jangan mudah percaya ajaran yang mentafsir al-Quran mengikut logik sendiri, mengangkat seorang individu sebagai tokoh suci atau bergerak secara rahsia. Sentiasa rujuk ulama dan institusi agama rasmi jika terdapat keraguan.
P/S: Memelihara akidah bukan hanya tugas pihak berkuasa, tetapi tanggungjawab seluruh umat Islam agar tidak terjebak dengan fahaman yang menyesatkan.
Sumber: Sinar Harian – 01 APR 2026








