Fenomena #gengsubuhmacamjumaat yang dicetuskan oleh penyanyi popular, Alif Satar kini bukan sahaja tular di semua platform media sosial, malah ia menjadi ikutan setiap kelompok masyarakat di negara ini apabila ada usaha – usaha untuk menyambung usaha tersebut sendiri tanpa perlu adanya kehadiran penyanyi tersebut. Ini merupakan satu petanda yang baik dan secara tidak langsung ia mendidik umat Islam untuk menjadi insan yang bertakwa.
Program ini memberikan contoh ikutan baik bagi yang menyeru manusia ke arah kebenaran dan kesabaran dalam melaksanakan ibadah solat berjemaah di masjid walaupun seruan dan saranan baik itu hadir daripada seorang artis yang sudah tentu mempunyai ramai pengikut dalam kalangan anak-anak muda. Hal ini mampu memberi kesan baik terhadap hati nurani anak-anak muda. Seruan dan kempen ini sangat baik dan ianya bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (QS Al-‘Asr: 1 – 3).
Langkah ini mampu menjadikan masjid seluruh negara dihidupkan dengan rasa kasih sayang untuk hidup dalam kehidupan berjemaah dan dapat menanam sikap saling ingat mengingati dalam urusan menjaga hubungan dengan Pencipta. Selain mampu memupuk rasa kasih sayang dalam kalangan jemaah yang hadir, langkah ke masjid merupakan langkah paling mulia kerana kehadiran ke masjid bagi membina kekuatan iman dan jati diri.
Setiap langkah ke masjid memberikan pahala dan mengangkat kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT. Namun jika langkah yang diambil tidak memberikan kepada kekuatan untuk menambahkan iman dan amal sudah pasti langkah tersebut gagal manakala pelaksanaan terhadap kempen Subuh macam Jumaat hanya akan menemui kegagalan. Dalam menimba pengalaman baru sudah tentu perancangan terhadap langkah memperkasakan institusi masjid menjadi keutamaan semua pihak. Peranan ini memerlukan tanggungjawab semua pihak bagi memastikan pelaksanaan ini sentiasa menjadi agenda penting bagi umat Islam.
Jika pendekatan yang betul melalui langkah yang tepat, tidak mustahil ummah akan terdidik dengan mendalam rasa kasih dan sayang untuk mendekatkan diri terhadap Allah SWT. Oleh itu, marilah kita sama – sama menggunakan peluang ini untuk menjadi umat Islam yang lebih bertakwa dan lebih beriman. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefarduan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya.” (HR Muslim).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan