Hidup manusia di dalam dunia ini tidak lain hanyalah untuk menghambakan diri kepada Allah SWT dengan melakukan segala amal ibadah dan juga kebaikan demi untuk mendapatkan ganjaran besar di sisiNya iaitu syurga. Islam memperjuangkan kebaikan dan segala perbuatan baik. Islam juga menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Berbuat amal kebaikan bukanlah hanya terletak pada pemberian sesuatu atau menghadiahkan sesuatu, tetapi ia meliputi semua aspek dari segi akhlak, fikiran dan kata-kata. Jika dari fikiran yang baik sudah dimulai, maka yang lainnya akan turut ikut baik. Baik dari segi kata-kata mahupun akhlak. Ini kerana segala perbuatan dan kata-kata seseorang akan ikut dan ‘patuh’ kepada pemikirannya. Jika baik pemikirannya, maka baiklah perlakuan dan kata-katanya. Jika tidak, mungkin akan jadi sebaliknya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.” (HR Abu Dawud)
Akan tetapi, dalam usaha berlumba-lumba melakukan kebaikan, jangan pula ada yang menyekat orang lain daripada melakukan kebaikan. Setiap Muslim mendapat peluang sama banyak untuk melakukan kebaikan, seterusnya memperoleh ganjaran yang dijanjikan oleh-Nya. Semuanya bergantung kepada usaha dan kehendak diri. Selain itu, apa saja amal kebajikan yang dilakukan, perlu diniatkan hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana ganjaran daripada manusia.
Oleh itu, pujuklah diri untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain. Usah berfikir panjang untuk melakukan kebaikan. Peluang untuk melakukan kebaikan terbentang luas di depan mata kita. Manfaatkanlah hidup kita dengan sebaik-baiknya. Biarlah apa yang kita lakukan turut memberi manfaat kepada orang lain. Hidup bukanlah tentang siapa yang terbaik, tetapi siapa yang sentiasa berbuat baik.
Sumber: Harian Metro “Pujuk diri buat kebaikan” (24 Disember 2018)