Ramadan yang telah berlalu meninggalkan seribu satu keberkatan dan kenangan manis bagi setiap Muslim yang berusaha meningkatkan ibadah. Namun, semangat tersebut tidak seharusnya terhenti apabila tibanya bulan Syawal. Antara amalan yang sangat dianjurkan ialah puasa enam hari di bulan Syawal. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun” (HR Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran yang Allah SWT sediakan bagi mereka yang meneruskan ibadah selepas Ramadan.
Selain itu, puasa di bulan Syaaban dan Syawal berperanan menyempurnakan kekurangan yang mungkin berlaku sepanjang puasa Ramadan. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:
“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya dan hendaklah kamu membesarkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (QS Al – Baqarah: 185).
Ayat ini mengingatkan bahawa ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mendidik jiwa agar terus taat dan bersyukur. Puasa sunat ini juga membantu kita untuk terus mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengekalkan momentum ibadah.
Lebih daripada itu, puasa enam di bulan Syawal adalah tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT atas nikmat dapat melalui Ramadan dengan penuh keimanan. Allah SWT juga berfirman:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya (dengan beriman dan beramal soleh).” (QS Al – A’la: 14).
Amalan ini menjadi bukti keikhlasan bahawa ibadah yang dilakukan bukan sekadar bermusim, tetapi lahir daripada hati yang mengharapkan keredaan-Nya. Dengan meneruskan puasa sunat ini, kita menunjukkan bahawa semangat Ramadan terus hidup dalam jiwa, menjadikan kita hamba yang istiqamah dan sentiasa dekat dengan Allah SWT.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)








