Home Kemanusiaan/Motivasi BERSATULAH!!! JANGAN HIDUP BERPUAK-PUAK DAN ELAKKAN BERPECAH BELAH DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH

BERSATULAH!!! JANGAN HIDUP BERPUAK-PUAK DAN ELAKKAN BERPECAH BELAH DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH

985
0

Sudah menjadi lumrah dan ajaran setiap agama untuk manusia saling bersatu-padu dan mengelakkan perpecahan serta berpuak-puak. Namun, situasi yang dipertontonkan hari ini jauh berbeza dengan apa yang diamalkan oleh ajaran agama. Manusia kini saling berpecah belah, bertikam lidah dan hidup berpuak-puak, ini menyebabkan perpaduan di antara mereka semakin goyah dan mudah rapuh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (ajaran dan panduan daripada Allah) dan janganlah kamu berpecah- belah.” (QS Ali Imran, ayat 103)

Umat Islam wajib meyakini Allah SWT tidak memerintahkan manusia melakukan sesuatu perkara atau tindakan melainkan perkara yang diperintahkan itu mempunyai kebaikan. Malah, perkara yang diperintahkan Allah SWT ke atas manusia adalah semata-mata untuk menyelamatkan manusia daripada sebarang kebinasaan dan kehancuran. Bagi sebuah negara berbilang bangsa dan suku kaum yang mengamalkan kepelbagaian kepercayaan agama, adat resam dan cara hidup yang berbeza, amat penting bagi kita hidup dengan semangat perpaduan.

Kita tidak sepatutnya berpecah disebabkan perkara remeh-temeh. Kita tidak patut berpecah disebabkan permainan politik. Kita juga tidak boleh berpecah disebabkan sentimen kaum dan agama. Perpecahan disebabkan politik dan agama boleh membawa kehancuran kepada negara. Kita telah menyaksikan bahana perpecahan dalam kalangan umat Islam yang membawa kehancuran.

Bacalah dan belajarlah daripada sejarah kejatuhan kerajaan Abbasiyah. Renungi dan insafilah bagaimana sakit dan deritanya kejatuhan Empayar Othmaniah. Buanglah perasaan tamak, benamkanlah sikap dengki dan dendam kesumat. Kuburkanlah sifat pentingkan diri sendiri. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Allah SWT:

“Penyakit umat sebelum kamu telah menyerap masuk ke dalam kalangan kamu, iaitu hasad dengki dan persengketaan, ia adalah pencukur. Aku tidak mengatakan ia mencukur rambut, akan tetapi ia mencukur agama.” (HR al-Tirmizi)

Ingat, perpecahan merugikan semua pihak. Musuh akan seronok apabila kita berpecah belah kerana ia akan memudah kerja mereka memusnahkan negara ini. Justeru, semua pihak harus memelihara perpaduan supaya keamanan dan kesejahteraan ummah yang dinikmati selama ini berkekalan.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Harian Metro “Tiada manfaat kita berpecah-belah” (10 Mei 2018)