Home Kemanusiaan/Motivasi BERBUAT BAIK KEPADA BUKAN ISLAM DAN HINDARI PERMUSUHAN MERUPAKAN SATU TUNTUTAN AGAMA

BERBUAT BAIK KEPADA BUKAN ISLAM DAN HINDARI PERMUSUHAN MERUPAKAN SATU TUNTUTAN AGAMA

1114
0

Malaysia merupakan salah satu antara negara yang paling unik di dunia. Manakan tidak, kepelbagaian cara hidup dan keharmonian yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini tidak kira sama ada yang Muslim atau tidak telah menarik perhatian warga luar kerana perpaduan yang utuh. Namun, keharmonian itu seakan tercalar pada hari ini akibat ‘tangan-tangan ghaib’ yang tidak senang akan perpaduan yang kita miliki.

Allah SWT berfirman:

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al-Mumtahanah, ayat 8)

Jelas, Islam mengajarkan prinsip toleransi iaitu hendaklah setiap Muslim berbuat baik kepada sesiapa saja selama tidak ada kaitannya dengan hal agama. Bahkan Ibnu Kathir menjelaskan, “Allah tidak melarang kalian berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memerangi kalian seperti berbuat baik kepada wanita dan orang yang lemah di antara mereka. Hendaklah berbuat baik dan adil kerana Allah menyukai orang yang berbuat adil.”

Islam tidak mengajar kita untuk bersikap pesimis terhadap golongan bukan Islam hanya disebabkan mereka menganuti kepercayaan yang berlainan dengan kita. Malah, Islam menuntut kita untuk meraikan perbezaan dan membina hubungan yang mesra dengan golongan bukan Islam. Di dalam al-Quran juga sudah diperintahkan agar umat Islam melayan orang bukan Islam yang tidak bermusuhan dengan Islam dengan semangat kebaikan dan kemurahan hati.

Sumber: Harian Metro “Berbuat baik kepada bukan Islam” (9 Ogos 2018)