Liberalisme adalah fahaman yang berasal dari dunia Barat yang sudah menjadi normalisasi fahamannya di seluruh dunia. Kedudukan dunia tanpa sempadan mempercepatkan lagi penyebaran fahaman ini sehinggalah ianya juga telah dinormalisasi dalam agama Islam oleh figura-figura yang beragama Islam sendiri.
Meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa aliran pemikiran liberal adalah menyeleweng daripada syariat Islam, namun ideologi tersebut semakin agresif dipromosikan oleh golongan intelektual sendiri kepada masyarakat dari pelbagai aspek kehidupan secara halus atau nyata untuk menyebarluaskan pemahaman liberal dan akhirnya dinormalisasikan dalam kehidupan beragama Islam.
Contohnya, isu dalam pertandingan debat yang meminta pendebat dari sebuah sekolah agama untuk menyokong usul ‘Islam tidak menghalang homoseksual’ dan ‘kepentingan menulis semula al-Quran’. Tiadanya sensitiviti penganjur lebih-lebih lagi berlakunya di Malaysia menggambarkan bahawa betapa dahsyatnya fahaman liberalisme ini telah meracuni sistem pendidikan negara.
Jelas sekali isu sebegini adalah satu bentuk penindasan dalam kebebasan beragama, namun mengapa tiada seorang pun dalam komuniti yang terlibat mempunyai rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk membantah usul sebegini diperdebatkan? Sedangkan sudah nyata, jelas dan terang hukum homoseksual adalah haram dan tidak akan ada pentafsiran semula terhadap al-Quran kerana ianya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Apakah signifikannya usul tersebut untuk diperdebatkan?
Minta maaf atas penganjuran debat tersebut bukanlah isunya, menjaga sensitiviti masyarakat berbilang bangsa juga bukanlah isunya, tetapi isunya dimanakah ‘sense’ pada seseorang individu Muslimyang terlibat dalam komuniti penganjur tersebut khususnya untuk mempertahankan martabat agama Islam dari diperkotak-katikkan lebih-lebih lagi terhadap usul yang dicadangkan? Inilah gambaran umat Islam di Malaysia kini yang semakin hanyut di bawa arus Barat. Sedih tetapi inilah hakikatnya.
Sumber: astroawani.com dan Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia