Home Hizbut Tahrir HIZBUT TAHRIR DIFATWAKAN HARAM DAN MENYESATKAN TAPI MASIH BEBAS MENYEBARKAN IDEOLOGI...

HIZBUT TAHRIR DIFATWAKAN HARAM DAN MENYESATKAN TAPI MASIH BEBAS MENYEBARKAN IDEOLOGI MEREKA TERUTAMANYA DI MEDIA SOSIAL. DIMANAKAH KETEGASAN PIHAK BERKUASA?

579
0

Jika dahulu Hizbut Tahrir adalah organisasi yang bergerak secara sembunyi-sembunyi (klandestine), namun kini mereka lebih terbuka malah berkembang pesat walaupun kebanyakan negara telah mengharamkan pertubuhan organisasi tersebut termasuklah Malaysia, Indonesia, Arab Saudi, Turki, Lebanon dan sebahagian besar negara Islam di kawasan Timur-Tengah.

Fatwa dikebanyakan negara juga telah memberi catatan merah atau mengharamkan pertubuhan Hizbut Tahrir atas alasan pertubuhan tersebut boleh mengancam kedaulatan negara kerana memprovokasi rakyat untuk bangkit menentang kerajaan, terdapat anggota pertubuhan yang terlibat dalam tindakan keganasan seperti demonstrasi secara ganas, terpengaruh dengan gerakan militan, terlibat dengan berbagai tindakan keganasan termasuklah penculikan dan pengeboman. Ekoran itu, ratusan aktivis Hizbut Tahrir di luar negara yang telah ditangkap dan dipenjarakan.

Menurut pengkaji dan pemerhati isu-isu keganasan di seluruh dunia, mereka menyimpulkan Hizbut Tahrir adalah organisasi yang bahaya kerana mereka mengajak masyarakat untuk menolak sistem yang ada secara total dan menyemai perilaku-perilaku yang menyerupai kumpulan-kumpulan militan yang lain. Mereka memperjuangkan khilafah, sedangkan satu Khalifah untuk memimpin dunia Islam seluruhnya hanyalah utopia dan tidak mungkin akan terjadi melalui perjuangan yang mereka war-warkan.

Mereka menyusup masuk dalam parti-parti politik dan organisasi-organisasi NGO, bagi memudahkan mereka untuk merekrut anggota, menyebarkan ideologi, memberi latihan ketenteraan, mendapat sokongan masyarakat dan seterusnya menggulingkan kerajaan serta mengambil alih pemerintahan untuk mendirikan Daulah Islamiyah.

Hizbut Tahrir turut mengemukakan pemikiran yang menyalahi nas-nas syarak, pemikiran yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah apabila mengatakan akidah tidak sabit dengan hadis ahad serta penolakan terhadap amal kebajikan dan kemasyarakatan yang disifatkan sebagai amalan yang menjauhkan masyarakat daripada matlamat utama iaitu menegakkan Khilafah.

Oleh sebab itu, doktrin dan fahaman Hizbut Tahrir ini sewajarnya diharamkan dan disekat kegiatannya daripada terus disebarkan kepada masyarakat melalui apa jua medium sebaran. Walaupun begitu, tidak nampak apa-apa tindakan yang dibuat oleh pihak berkuasa kerana di media sosial kini banyak terlihat artikel-artikel dan bahan-bahan bacaan yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir bebas tersebar tanpa sekatan dalam menyebarkan dakyahnya.

Oleh itu, dimanakah keberkesanan ketegasan pihak berkuasa berhubung dengan pengharaman pergerakan Hizbut Tahrir tersebut sedangkan mereka masih bebas untuk menyebarkan fahaman sesat mereka kepada masyarakat?

Sumber: BBC News , 19 Julai 2017 dan Detik News, 8 November 2018.