Home Ajaran Sesat AJARAN SESAT SEMAKIN BERKEMBANG DAN SUKAR DITANGANI!!! BERSAMALAH MEMBANTERASNYA DEMI MEMELIHARA AKIDAH...

AJARAN SESAT SEMAKIN BERKEMBANG DAN SUKAR DITANGANI!!! BERSAMALAH MEMBANTERASNYA DEMI MEMELIHARA AKIDAH UMMAH

629
0

Dalam masyarakat Melayu khususnya, pelbagai kepercayaan telah wujud sejak zaman berzaman yang berunsurkan khurafat seperti animisme dan amalan agama hindu. Sebagai contoh kepercayaam animisme ini biasanya melibatkan pemujaan dan perhambaan diri kepada suatu kuasa sehingga percaya ia mampu mendatangkan nasib baik atau buruk kepada manusia sehingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada jasad dan roh yang memuja.

Kepercayaan sebegini sebagai salah satu contoh jika dibiarkan berlarutan tanpa pengawasan pihak berwajib akan mengakibatkan kesesatan dan penyimpangan akidah khususnya kepada masyarakat Islam yang mempercayainya. Sejarah juga membuktikan bahawa pelopor ajaran sesat ini lazimnya merupakan mereka yang beragama Islam yang membawa pengaruh ajaran sama ada dari Timur Tengah, Indonesia ataupun Indo-Pakistan.

Modus operandi penyebaran ajaran sesat ini pula bukanlah dibuat secara terbuka sepertimana ajaran agama Islam yang benar yang berlandaskan syarak yang diadakan di masjid, surau dan pengajian kelas-kelas agama umum. Namun, ajaran sesat biasanya dibuat secara tertutup dan tersembunyi di tempat-tempat tertentu. Malahan kadangkala ajaran sesat itu tidak menampakkan ciri-ciri ajaran sesat kepada orang awam yang jahil agama kerana guru mereka turut menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis untuk memperkuatkan hujahnya. Sedangkan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang digunakan telah disalah tafsirkan dan diselewengkan sehingga boleh menarik masyarakat yang tidak ada asas yang kukuh dalam agama Islam untuk terpengaruh dengannya.

Walaupun fatwa telah mengharamkan dan menyenaraikan ajaran-ajaran sesat yang wujud di negara ini, namun didapati masih lagi ramai masyarakat tetap terpesona dengan ajaran yang secara terang-terangan menyalahi ajaran Islam yang sebenar seperti boleh menunaikan haji di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor; boleh nikah batin, tidak perlu solat jumaat jika ada urusan penting dan pelbagai dakwaan karut yang sama sekali menyalahi akidah atau iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Justeru itu, bukan sahaja pihak berkuasa malah umat Islam sendiri perlulah berganding bahu untuk menjalankan amar makruf nahi mungkar bagi sama-sama membasmi penularan pelbagai ajaran sesat yang menyeleweng akidah dan kepercayaan umat Islam.

Sumber: Shariah Journal, Vol. 18, No. 2 (2010)