Fahaman liberal agama bertapak di negara ini dan bergerak menerusi seruan kepada pembaharuan dalam agama dengan dimulakan dengan pentafsiran baru terhadap teks agama. Idea-idea baru yang mementingkan kebebasan individu dalam berfikir, bersuara dan beragama dilihat mula dipandang baik bagi segelintir masyarakat Malaysia yang beragama Islam.
Pandangan mereka terhadap Islam boleh disifatkan sebagai bid’ah yang boleh menyimpang akidah daripada ajaran Islam yang sebenar. Sebagai contoh dalam isu murtad, al-Mustaqeem Mahmood Radhi yang merupakan seorang pendokong Islam liberal menyatakan bahawa orang Islam boleh menukar agama atau menjadi murtad dengan bebas.
Dia berhujah berdasarkan ayat al-Quran dalam Surah al-Kahf, ayat 29: Maksudnya: “Oleh itu, siapa mahu maka berimanlah dan siapa mahu maka kufurlah”. Selain itu dia turut merujuk kepada Surah al-Baqarah, ayat 256: Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan”
Ayat tersebut ditafsirkan sejajar dengan konsep yang dipegang oleh fahaman liberal selama ini iaitu berasaskan konsep kebebasan individu dalam agama. Disebabkan oleh konsep ini telah menjadi dorongan kepada sejumlah orang Islam di Malaysia untuk murtad.
Selain itu, pendokong liberal juga menganggap bahawa semua agama akan bertemu pada titik yang satu sahaja iaitu ketundukan kepada Tuhan. Mereka turut mendakwa bahawa penganut semua agama akan masuk Syurga, selain Islam ada lagi jalan-jalan menuju ke syurga iaitu melalui agama-agama lain selain Islam. Alasannya semua manusia sama-sama mencari Tuhan sebenar, oleh yang demikian penganut sesuatu agama tidak boleh mendakwa agamanya adalah yang terbaik.
Sebagai contoh di Indonesia yang terkenal dengan jumlah umat Islam yang ramai, namun penularan fahaman liberal yang berleluasa memperlihatkan fenomena perkahwinan campur iaitu pasangan yang berbeza agama dibenarkan berkahwin malah bukan merupakan suasana yang pelik di sana.
Dalam konteks agama perkahwinan di antara pasangan yang berlainan agama ini adalah harus secara hukum asalnya. Namun, perlu menepati syarat-syarat wajib yang ditetapkan oleh Islam. Syarat-syarat ketat yang diletakkan Islam telah menyebabkan golongan liberal ini merasa terkongkong dan mengambil jalan mudah untuk meneruskan perkahwinan mengikut tafsiran tersendiri atau terus murtad mengikut agama pasangannya.
Di Malaysia, perkara seperti ini masih terkawal dengan adanya undang-undang yang ketat dan kawalan daripada pihak-pihak berkuasa. Namun, pemantauan secara berterusan adalah perlu dan pada masa yang sama turut memberi peringatan kepada masyarakat tentang bahayanya fahaman liberal ini yang bebas dalam semua perkara sehingga boleh membawa seseorang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar dengan penafsiran tersendiri dan akhirnya boleh menjerumuskan seseorang kepada murtad.
Sumber: Jurnal Universiti Malaya (Analisis Liberalisme Agama Di Malaysia Menurut Perspektif Akidah Islam)