Perkembangan teknologi AI hari ini menjadikan sesiapa sahaja boleh “ubah realiti” hanya dengan satu klik. Trend seperti gambar retro 80-an atau suntingan wajah semakin viral di media sosial, termasuk dalam kalangan Muslimah. Namun timbul isu apabila gambar yang dihasilkan memaparkan rambut atau aurat yang asalnya tidak ditunjukkan. Walaupun ia sekadar hasil AI atau edit, hakikatnya imej tersebut tetap mewakili diri kita dan boleh disebarkan tanpa kawalan. Walaupun gambar itu bukan realiti asal, aurat yang terpapar tetap dikira aurat dan wajib dijaga.
Dari sudut hukum, para ulama menjelaskan bahawa penggunaan AI pada asasnya adalah harus, berdasarkan kaedah fiqh: “Al-aslu fil asya’ al-ibahah hatta yadulla dalil ‘ala tahrim” (asal sesuatu perkara itu harus selagi tiada dalil mengharamkan). Namun hukum ini berubah menjadi haram apabila melibatkan unsur maksiat seperti pendedahan aurat, penipuan atau mengaibkan orang lain. Bahkan memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial adalah dilarang kerana berpotensi tersebar kepada ajnabi dan membawa fitnah . Kaedah Sadd Zari’ah (menutup pintu ke arah kemungkaran) juga menegaskan bahawa perkara harus boleh menjadi haram jika membawa kepada fitnah atau syahwat.
Justeru itu, umat Islam perlu lebih peka dalam menggunakan AI dan tidak sekadar ikut trend tanpa sempadan. Teknologi hanyalah alat, ia boleh jadi pahala atau dosa bergantung cara kita guna. Jangan sampai kerana mahu “viral”, kita menggadaikan maruah dan aurat sendiri. Gunakan AI dengan amanah, tapis sebelum kongsi dan sentiasa letakkan iman sebagai “filter” utama dalam dunia digital hari ini.








