Instagram telah menjadi platform media sosial yang paling digemari anak muda. Segala wacana boleh diwujudkan khususnya mengenai agama melalui instagram untuk menarik minat anak muda yang haus akan pengetahuan agama.
Dengan memanfaatkan visual tersebut, Hizbut Tahrir menciptakan sebuah wacana bagi menyebar isu tentang kelemahan pemerintah yang tidak mengambil sistem Islam, bahayanya sistem demokrasi dan sekularisme Barat dan pelbagai kerosakan yang berlaku kerana mengambil semua perkara yang bersumberkan Barat. Apa yang cuba ditonjolkan oleh Hizbut Tahrir untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat adalah hanya ada satu sahaja solusi atas permasalahan yang berlaku tersebut iaitu dengan turut sama menyokong usaha untuk menegakkan Khilafah Islamiyah yang diperjuangkan oleh mereka.
Melalui posting yang dibuat dalam instragram mengenai isu-isu tersebut, Hizbut Tahrir berhasil mempengaruhi anak muda yang tidak memiliki latar belakang agama yang kuat. Keberhasilan itu terutamanya apabila mereka menyediakan konten yang kreatif dan mudah difahami seperti menggunakan kata-kata singkat atau keratan hadis dan juga video pendek yang disampaikan dengan narasi yang menyentuh emosi. Dakwah tersebut dinamakan sebagai ‘soft or light’ dakwah yang dilhat memberi impak yang baik kepada generasi muda kerana memenuhi selera mereka.
Instagram mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat terutamanya bagi generasi muda yang kini menjadi trend untuk menggunakan aplikasi tersebut bagi mendapatkan maklumat, berhibur dan sebagainya. Ia terbukti telah menjadi medium yang efektif dan digunakan sepenuhnya oleh Hizbut Tahrir untuk membentuk pemikiran anak muda melalui konten ringkas dan visual menarik dalam menyebarkan doktrin perjuangan Khilafah Islamiyah mereka. Ia ternyata lebih menarik jika dibandingkan dengan teks panjang yang disampaikan oleh penceramah agama. Antara instagram yang popular menyebarkan dakyah dan propaganda Hizbut Tahrir ialah instagram Felix Siauw dan Ismail Yusanto.
Oleh itu, berwaspadalah wahai anak muda kerana Instagram tidak hanya menjadi tempat untuk berhibur malah gerakan-gerakan Islam radikal seperti Hizbut Tahrir juga turut mengambil kesempatan menjadikan ia sebagai instrumen penting atau wacana bagi penyebaran ideologi mereka seterusnya untuk merekrut anak-anak muda menjadi anggota kumpulan mereka dalam memperjuangkan cita-cita untuk membina negara Khilafah. Mereka yang berada dalam kelalaian semasa menggunakan sosial media dan kurangnya terapan agama dalam diri berpotensi besar untuk terperangkap dalam jerat idea songsang yang dikemukakan oleh Hizbut Tahrir melalui posting di instagram mereka.
Sumber: – Journal of Islam and Plurality –Volume 4, Nomor 1, Juni 2019