Home Kemanusiaan/Motivasi MUKMIN YANG KUAT ADALAH MUKMIN YANG BOLEH MENGAWAL EMOSI DAN AMARAHNYA

MUKMIN YANG KUAT ADALAH MUKMIN YANG BOLEH MENGAWAL EMOSI DAN AMARAHNYA

862
0

Kehidupan kita didunia ini tidak terlepas dari menerima ujian dan dugaan daripada Allah SWT samada berbentuk kesenangan atau kesusahan. Ada kalanya ujian yang diberikan itu membuat kita berasa gembira dan ada kalanya membuat kita berasa marah dan tidak tenteram. Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Ia juga satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah.

Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam kita hendaklah mengawal perasaan tersebut dan tidak berlebih-lebihan dalam meluahkan amarah kepada pihak lain. Ya, kita mempunyai hak untuk meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati, tetapi berlebih-lebihan dalam kemarahan adalah suatu sifat atau perbuatan tercela. Agak menakutkan apabila melihat komen-komen di platform media sosial para netizen hari ini seolah-olah seperti manusia hilang kewarasan. Segala kata dan cacian baik dari lelaki mahupun wanita dilemparkan tanpa segan silu. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Melihat kepada hadis di atas, ia jelas menyatakan bahawa saat kita sedang marah, di masa itulah syaitan memainkan peranannya untuk menghasut manusia hingga hilang kewarasan akal. Oleh sebab itu, berlakunya banyak kes seperti pembunuhan, penderaan, ganggguan fizikal dan psikologi yang melampau oleh seseorang. Ini kerana apabila syaitan sudah menguasai diri manusia, maka mereka akan hilang kewarasan dan melakukan sesuatu di luar batas norma kemanusiaan.

Tahanlah perasaan marah di dalam hati kita, kerana ia merupakan satu sifat yang tercela dan amat dibenci oleh Allah SWT. Apatah lagi dengan situasi semasa ketika ini, kita digalakkan untuk sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha untuk menjaga keselamatan diri sendiri dan keluarga. Ingatlah, Allah SWT menguji kita bukan untuk kita hamburkan kemarahan kepada pihak lain, tetapi Allah SWT menguji kita untuk sentiasa beringat kepadaNya dan segera bertaubat. Di dalam saat-saat yang getir ini, kita harus bersabar dan mengawal kemarahan kita. Jika tidak dibendung kemarahan itu, maka ia akan memicu kepada persengketaan dan permusuhan. Mukmin yang kuat adalah mukmin yang mampu mengawal emosi dan amarahnya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergaduh, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (HR Bukhari).

Sementara itu, antara ciri-ciri orang yang bertakwa adalah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya dengan tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk lakukannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskanya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” (HR Abu Daud).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan