Home Liberalisme ISU KALIMAH ALLAH. AWAS!!! JANGAN TERPERANGKAP DENGAN AGENDA TERSEMBUNYI GOLONGAN ISLAM LIBERAL

ISU KALIMAH ALLAH. AWAS!!! JANGAN TERPERANGKAP DENGAN AGENDA TERSEMBUNYI GOLONGAN ISLAM LIBERAL

1159
0

Isu tuntutan orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah bukanlah suatu isu yang baru. Cuma baru-baru ini isu kalimah Allah ini kembali menjadi hangat dibincangkan selepas hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan untuk membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya (Kristian) telah dihalang. Mahkamah Tinggi telah memutuskan membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama Kristian. Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain dibenarkan iaitu perkataan solat, Baitullah dan Kaabah.

Sememangnya benar dari sudut undang-undang, hakim Mahkamah Tinggi menyandarkan keputusannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan isu ini bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Namun, isu ini merupakan isu sensitif di peringkat tempatan dan keselamatan kerana dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara agama dan kaum di negara ini. Di Malaysia, isu ini menjadi polemik kerana ia menimbulkan kegusaran masyarakat Islam di negara ini disebabkan pelbagai persoalan timbul. Antaranya apakah maksud terselindung di sebalik penggunaan ini? Apakah mereka (orang Kristian) ada agenda lain yang tersembunyi?, Mengapa sebelum ini tidak ada tuntutan ini dan seumpamanya dibuat? Kenapa agama Kristian di Malaysia sahaja yang nak gunakan kalimah Allah ini sedangkan negara lain kecuali Indonesia tidak digunakan?

Situasi ini memperlihatkan orang bukan Muslim sudah berani mencabar hal-hal sensitif yang berhubung dengan agama dan mereka menjadi lebih berani apabila mendapat sokongan daripada orang Muslim sendiri yang berfikiran liberal seperti Siti Kasim dan golongan G25. Golongan Islam liberal ini dilihat memang menyokong penuh keputusan Mahkamah Tinggi, malah mereka pula mengambil kesempatan untuk menanam sentimen supaya masyarakat Islam yang berfikiran liberal dan sekular membenci orang-orang agama dan menabur fitnah terhadap institusi agama Islam di negara ini tanpa henti. Kemenangan penghakiman di Mahkamah Tinggi dalam isu kalimah Allah ini memberi tamparan hebat kepada institusi agama di negara ini. Bagi golongan liberal, mereka menggunakan isu ini untuk ‘menghentam dan mengejek’ umat Islam terutamanya golongan agamawan seolah-olah berfikiran jumud dan kolot kerana tidak membenarkan penggunaan kalimah-kalimah tersebut digunakan.

Pada masa yang sama golongan berfahaman liberal ini mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan ideologi Islam Liberal dan memperjuangkan kebebasan sepertimana yang diamalkan oleh negara Barat. Di sosial media terdapat ramai individu-individu yang berfahaman liberal bersuara lantang dan bersorak kegirangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini seperti laman facebook ‘Mur Pakri’ dan Syarifah Farl’ termasuklah kenyataan-kenyataan Siti Kasim sendiri. Inilah agenda tersembunyi golongan berfahaman liberal yang mengambil kesempatan dan peluang untuk terus melebarkan fahaman songsangnya. Persoalannya, adakah penghakiman undang-undang juga prejudis dengan pemikiran liberal?

Apa yang hendak dijelaskan dalam penulisan ini adalah, nas-nas Islam tidak membantah golongan bukan Muslim menyebut atau menggunakan nama Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung, bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucap kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Namun, apa yang dibantah dalam nas-nas Islam bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid mereka dalam menggunakan nama Allah. Mereka bukan untuk mengiktiraf Allah sebagai satu-satunya zat Yang Maha Esa tetapi sebaliknya memesongkan akidah dan mensyirikkan Allah dengan konsep triniti iaitu konsep Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Banyak pihak agamawan dan ulama menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh Kristian ini memang ada agenda yang tersembunyi dalam gerakan Kristianisasi mereka di negara ini. Ketidakjelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah generasi kita dan mampu mengkucar-kacirkan keselamatan negara disebabkan oleh kekeliruan dari sudut agama dan bangsa.

Sumber: Harakah Daily, 11 Mac 2021, Utusan Malaysia, 13 Mac 2021