Golongan ekstremis radikal pada umumnya berfahaman takfiri iaitu menyesatkan dan mengkafirkan umat Islam termasuk ulama kerana tidak menjalankan hukum Islam dan tunduk kepada kuasa Barat. Mereka bukan sahaja memerangi Barat tetapi juga menghalalkan darah orang Islam yang ‘bersekongkol’ dengan Barat dan pemimpin yang dianggap ‘toghut’.
Punca perbuatan golongan ekstremis dan radikal ini adalah kerana mereka mengganggap umat Islam hari ini menjadi mangsa kezaliman dan penindasan dari segi minda mahupun fizikal oleh kuasa Barat. Mereka merasakan hanya merekalah pejuang Islam yang tampil untuk membela Islam di seluruh dunia. Provokasi seperti ini semakin banyak berlegar di media sosial. Sebagai contoh, dalam laman facebook ‘Tok Cindai’ yang banyak memuat naik penyataan-penyataan berbentuk seruan dan meniupkan semangat kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk berjuang dan berjihad menentang kafir laknatullah.
‘Tok Cindai’ juga kelihatan sering meluahkan rasa kekecewaan terhadap Majlis Raja-Raja Melayu di negara ini kerana seolah-olah tidak mengambil inisiatif untuk mempertahankan kesucian agama Islam padahal mereka bertanggung jawab menjaga agama Islam yang suci ini. Komen-komen negatif dimasukkan dalam laman sosial seolah-olah Majlis Raja-Raja Melayu tidak menjaga kedaulatan agama Islam kerana tidak berbuat apa-apa dalam isu-isu yang menghina agama Islam seperti isu kalimah Allah mahupun untuk membanteras golongan-golongan yang menyokong pluralisme, isu gender dan bangsa seperti yang dilakukan oleh Asiah Abdul Jalil dan Siti Kassim yang tidak pernah putus asa menyebarkan ideologi liberal untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular. Oleh itu, ‘Tok Cindai’ menyeru kepada semua pengikutnya untuk bersiap sedia ‘berjihad’ bersamanya menentang golongan tersebut.
Mereka tidak sedar perbuatan tersebut sebenarnya lebih memudaratkan umat Islam dan mencemarkan imej Islam sebagai agama yang aman dan damai. Golongan radikal mempunyai naratif tersendiri dalam menggerakkan perjuangan mereka dan mempengaruhi masyarakat Islam di negara ini. Oleh kerana perjuangan mereka untuk mencapai kuasa politik Islam, maka mereka memprovokasikan agar rakyat di negara ini bergerak bersama mereka untuk berjihad mengangkat senjata sebagai satu-satunya jalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Sememangnya al-Quran dan as-Sunnah banyak menyebut mengenai jihad, namun ia tidak boleh disalahgunakan untuk menjustifikasikan keganasan yang bertentangan dengan mesej utama Islam.
Kerajaan juga berpendirian tegas tidak membenarkan sebarang fahaman ekstremis dan sama sekali tidak membenarkan apa jua pendekatan berbentuk keganasan dan fahaman bercorak militan dihidupkan di negara ini demi keharmonian dan keselamatan negara. Oleh itu, umat Islam diseru supaya berfikirlah dengan bijaksana dan akal yang waras. Janganlah sekali-kali kita mudah dipengaruhi oleh provokasi golongan eksremis dan militan di media sosial kerana matlamat tidak menghalalkan cara malah ia amat bertentangan dengan ajaran Islam yang benar.
Sumber: Berita Harian, 24 Jun 2017