Home Uncategorized JAUHILAH SIKAP BERMUKA-MUKA KERANA IA ADALAH SIFAT MUNAFIK YANG DIBENCI OLEH ALLAH...

JAUHILAH SIKAP BERMUKA-MUKA KERANA IA ADALAH SIFAT MUNAFIK YANG DIBENCI OLEH ALLAH SWT

937
0

Dari Abu Hurairah RA dan sanadnya sampai kepada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Kalian mendapati bahawa orang yang paling buruk di antara manusia adalah orang yang bermuka dua, datang kepada satu golongan dengan satu muka dan pada golongan yang lain dengan muka yang lain.” (HR Ahmad: 7039)

Sifat bermuka-muka di kalangan manusia pada hari ini dilihat seakan satu perkara normal, walhal ia adalah satu sikap yang tidak terpuji dan amat dimurkai oleh Allah SWT. Apa yang dimaksudkan dengan sifat bermuka-muka? Bermuka-muka adalah satu sikap tidak jujur atau lebih tepat lagi pembelot. Sebetulnya, sikap bermuka dua atau bermuka-muka adalah sikap buruk yang agak kronik. Tiada sedikit pun manfaat, malah meracuni diri dan memudaratkan orang lain. Tidak cukup dengan itu, akan terbelengu di dunia dan hampa di akhirat.

Malah, orang yang bermuka-muka ini dianggap sebagai munafik selaras dengan firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu hendak menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka.” (QS An-Nisa’: 142)

Manusia yang bermuka dua atau bermuka-muka ini boleh jadi bersifat demikian dengan tujuan untuk:

  1. Melagakan manusia.
  2. Meraih keuntungan dari dua pihak atau lebih.
  3. Mendapat perhatian atau sokongan dari dua pihak atau lebih.
  4. Supaya dipandang mulia oleh dua pihak yang berbeza atau lebih.
  5. Menyembunyikan kebenaran dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang sentiasa tawadduk, maka kita hendaklah menjauhkan diri kita dari bersifat sedemikian. Ini kerana sikap sebegini jelas menunjukkan ianya gejala yang hipokrit, tidak ikhlas dan jujur. Jika dibiarkan berpanjangan, seseorang itu mungkin akan dihinggapi penyakit psikologi yang dikenali sebagai kecelaruan identiti atau ‘identity disorder’. Kita sebagai seorang Muslim harus berwaspada terhadap perkara ini dan memperingatkan diri kita sehingga tidak terjadi berbagai kerosakan.

Justeru, dengan membudayakan konsep alhamdulillah, kita akan menjadi lebih tenang kerana berasa cukup dengan apa yang kita terima dan tidak dilintaskan perasaan dengki dalam minda dan hati kita kepada orang lain. Semoga kita dijauhi daripada sikap bermuka dua dan menjauhi orang yang bermuka-muka.

Sumber: Sinar Harian “Siapa yang bermuka dua?” (11 Julai 2020)