Home Kemanusiaan/Motivasi AMALKAN SIFAT PEMURAH AGAR HIDUP SENTIASA DIBERKATI ALLAH SWT

AMALKAN SIFAT PEMURAH AGAR HIDUP SENTIASA DIBERKATI ALLAH SWT

3246
0

Bulan Ramadhan akan tiba dalam masa berberapa hari sahaja lagi, sudah pasti ramai di antara kita yang sedang melakukan persiapan menyambut kedatangan bulan mulia dan penuh barokah itu. Ini tidak terkecuali para dermawan yang pemurah sedang sibuk untuk melakukan amal kebaikan dengan amalan sedekah. Sifat dermawan dan bermurah hati perlu terbit dalam setiap diri umat Islam dan menjadi amalan dalam kehidupan. Sabda Rasulullah SAW:

“Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil.” (HR Tirmidzi)

Bila berbicara perihal sifat pemurah ini, Rasulullah adalah contoh terbaik yang boleh diambil oleh umat Islam. Baginda merupakan antara lelaki yang kaya kerana 1/5 daripada harta rampasan perang(ghanimah) adalah milik Baginda. Namun baginda tidak meninggalkan apa-apa harta selepas kewafatan baginda. Baginda merupakan seorang pemimpin yang pemurah mengamalkan budaya hidup setara rakyat jelata. Diriwayatkan bahawa baginda membahagikan harta rampasan perang miliknya dalam masa tidak sampai satu jam kepada sahabat-sahabat yang memerlukannya.

Ya, benar kita tidak akan dapat menandingi kehebatan Rasulullah SAW sampai bila-bila. Namun, setidaknya dengan sedikit kemewahan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, tidak salah rasanya kita menginfaqkannya kepada golongan-golongan yang memerlukan. Banyak atau sedikit, itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan adalah keikhlasan dan kerberkatan yang kita perolehi daripada Allah SWT. Sesungguhnya, Muslim yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah tidak akan sesekali merasa rugi. Firman Allah SWT:

“Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.” (QS al-Baqarah: 195)

Ingatlah, dengan sifat pemurah tidak akan menjadikan kita papa kedana. Bersedekahlah selalu kerana setiap amalan yang diamalkan tidak akan menjadi sia-sia. Orang pemurah selalunya di hujung umurnya dapat hidayah, marilah kita sama-sama melakukan transformasi diri ke arah yang lebih terbaik daripada hari-hari semalam dengan menjadikan sifat pemurah salah satu daripada amalan dalam hidup kita agar hidup kita sentiasa diberkati Allah SWT.

Sumber: Harian Metro “Didik diri jadi pemurah” (31 Julai 2020)