Home Liberalisme JANGAN TERPENGARUH DENGAN NIAT JAHAT KUMPULAN LIBERAL YANG MEMBANTAH PINDAAN AKTA 355...

JANGAN TERPENGARUH DENGAN NIAT JAHAT KUMPULAN LIBERAL YANG MEMBANTAH PINDAAN AKTA 355 (AKTA MAHKAMAH SYARIAH-BIDANG KUASA JENAYAH)

891
0

Pendukung hak asasi manusia yang berfahaman liberal melontarkan pelbagai alasan sama ada terhadap peranan agama mahupun undang-undang syariah dengan tujuan jangka panjang agar gaya hidup songsang LGBT ini akhirnya diiktiraf dan menjadi satu normalisasi di Malaysia sepertimana pengamalannya di luar negara.

Desakan yang melampau daripada mereka yang berfahaman liberal ini dilihat sebagai satu ancaman yang sangat bahaya kepada akidah umat Islam di Malaysia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohamad Al-Bakri yang bercadang untuk tetap melakukan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali dengan Akta 355 sewajarnya disokong dan diraikan.

Pindaan Akta 355 ini bertujuan membolehkan hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas individu terbabit dengan LGBT kerana budaya LGBT bukan hanya menjadi satu kesalahan syarak dan undang-undang Islam, malah bertentangan dengan fitrah manusia. Kita juga perlu ingat bahawa Islam tidak melarang untuk manusia hidup bebas, tetapi apabila ianya melanggar syarak maka ianya adalah melampau dan perlu dibendung.

Jika kita membuat sorotan terhadap negara jiran iaitu Brunei yang juga merupakan negara jajahan British tetap mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang Syariah dengan membenarkan hukuman rejam sampai mati terhadap pesalah zina dan homoseksual meskipun mendapat kecaman dan kritikan hebat di peringkat global. Selain dari menghalang perbuatan jenayah dan mencegah sesuatu perkara tidak bertentangan dengan Islam, pelaksanaan undang-undang Syariah turut bertujuan untuk mendidik, menghormati danmelindungi semua hak secara sah dari individu, masyarakat atau warganegara tanpa mengira agama dan bangsa.

Secara rasionalnya terdapat lebih banyak kebaikan berbanding keburukan jika melaksanakan hukuman ini. Oleh itu, kerajaan sewajarnya mencontohi ketegasan Brunei mempertahankan kedaulatan negara dan undang-undang tempatan. Terutamanya apabila kedua-dua negara Malaysia dan Brunei meletakkan Islam sebagai agama negara dan mengamalkan sistem dwi perundangan iaitu sivil dan syariah.

Sumber: Harian Metro, 6 April 2021 dan Majlis Ulama ISMA