Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERUNTUNG DI DUNIA DAN AKHIRAT DAN...

JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERUNTUNG DI DUNIA DAN AKHIRAT DAN JANGANLAH TERMASUK GOLONGAN YANG RUGI

2139
0

Dunia ini hanya sementara, adalah lebih elok bagi kita sebagai umat Islam untuk sentiasa bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam usaha memperoleh rahmat dan kasih sayang serta ganjaran pahala daripadaNya. Marilah kita melihat dari sudut yang berbeza, menilai dan meneliti setiap perbuatan kita adakah kita berada di dalam golongan yang benar-benar dalam kerugian atau tergolong dalam insan yang beruntung dunia dan akhirat? Firman Allah SWT:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (QS Al – ‘Asr: 1-3)

Ramai di kalangan manusia pada hari ini berjaya, namun hanya sebilangan kecil sahaja yang mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya. Sebilangan yang lain? Hanya menikmati rezeki yang diberikan oleh Allah tanpa rasa bersyukur. Kita ini dianggap golongan yang rugi jika kita kaya tetapi kita tidak beramal soleh, tidak solat dan tidak menggunakan kekayaan kita itu untuk ke jalan yang diredhai Allah seperti sedekah. Bahkan mereka lebih rugi lagi daripada orang yang tidak beramal kerana mereka beramal tanpa sebarang hasil atau tidak mendapat ganjarannya. Apa yang mereka dapat hanyalah penat lelah di dunia. Sesuatu yang sangatlah merugikan. Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” (QS Al- Kahfi: 104)

Orang-orang yang paling rugi itu adalah orang-orang yang amal usahanya menjadi sia-sia walaupun bertungkus-lumus beramal di dunia. Hal ini kerana, mereka menyangka amal kebaikan mereka sudah mencukupi dan baik padahal amalan mereka telah ditolak oleh Allah SWT. Lebih teruk lagi, kebanyakan mereka tidak mengetahui pun amalan mereka ditolak. Sememangnya manusia ketika hayatnya akan sentiasa terpalit melakukan dosa dan maksiat. Bagaimanapun, Allah SWT membersihkan dosa itu dengan didatangkan pelbagai ujian. Selain itu, kita memohon keampunan dengan cara bertaubat iaitu menyesal dan berazam memperbaiki diri dengan melakukan perkara yang baik.

Dunia bukan matlamat mutlak buat manusia meraih nikmat kerana ia bersifat sementara. Bagaimanapun, bukan bermakna kita perlu sentiasa tegar dengan amalan akhirat sehingga melupakan tanggungjawab dan urusan duniawi. Islam menyuruh kita seimbangkan kedua-duanya. Dalam kesibukan mengurus hal ehwal keduniaan, jangan sesekali kita melupakan bekalan untuk menuju ke akhirat. Bahkan Rasulullah SAW turut mengingatkan umatnya tidak lalai dengan kesibukan dunia tanpa mempedulikan urusan bekalan akhirat. Sabda Baginda:

“Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau pengembara. Apabila engkau berada pada waktu petang, janganlah engkau menunggu pagi hari dan jika engkau berada pada waktu pagi hari, janganlah menunggu petang hari. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu dan manfaatkanlah hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis direkodkan oleh At-Tirmidzi)

Oleh itu, berusahalah sehabis daya dan sekuat tenaga kita dalam mengerjakan amal kebaikan di dunia ini supaya kita dapat mendapat ‘keuntungan’ di dunia dan di akhirat. Muslim yang dapat menyeimbangkan antara duniawi dan ukhrawi merupakan Muslim yang unggul dan disayangi Allah SWT.

Sumber: Harian Metro “Hamba beruntung di akhirat” (29 Januari 2019)