Home Kemanusiaan/Motivasi MERAIH KEAMPUNAN ALLAH SWT DI BULAN RAMADHAN DENGAN MEMBURU LAILATUL QADAR

MERAIH KEAMPUNAN ALLAH SWT DI BULAN RAMADHAN DENGAN MEMBURU LAILATUL QADAR

674
0

Ramai di antara kita yang teruja menyambut kedatangan bulan Ramadhan, pasalnya ingin mengejar malam Lailatul Qadar. Akan tetapi, berapa ramai di antara kita yang betul-betul faham akan maksud sebenar malam Lailatul Qadar ini? Malam Lailatul Qadar merupakan satu malam yang khusus terjadi pada bulan Ramadhan. Ayat al-Qur’an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Quran dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan. Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar (malam) manakala al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan. Firman Allah SWT:

Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (QS al – Qadr: 1-3).

Memburu Lailatul Qadar yang merupakan sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan adalah satu perbuatan yang dituntut. Rasulullah SAW sendiri memang bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh terakhir Ramadhan melebihi hari-hari yang lain. Daripada Aisyah ra. beliau berkata:
“Adalah Rasululullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh terakhir (Ramadhan) melebihi kesungguhan pada hari-hari yang lain”. (HR Muslim).

Kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan untuk meraih pahala beribadah pada malam al-Qadr tersebut. Disebutkan bahawa malam Lailatul Qadar ini tidak diketahui waktunya secara tepat namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa melakukan banyak amal ibadah di sepanjang bulan Ramadhan ini bagi meraih gandaan keampunan dan keredhaan Allah SWT. Bukanlah menunggu sehingga 10 malam terakhir Ramadhan untuk memburu malam Lailatul Qadar. Antara kemuliaan terkandung dalamnya adalah nikmat pengampunan Allah SWT yang Maha Luas dan merimbun. Ramadan ini medan untuk mengecapi matlamat menghindarkan diri daripada api neraka. Firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, keras, tidak menderhakai Allah SWT terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS at-Tahrim: 6).

Pengampunan daripada Allah SWT penting kerana tanpa pengampunan terhadap dosa yang dilakukan akan memberi impak besar kepada diri bukan sekadar di dunia juga akhirat. Bagi yang tidak bertaubat, rasa tenang dalam diri dan jiwa akan berganti resah serta timbul gelisah walau harta melimpah ruah. Jadi, mohonlah pengampunan daripada Allah SWT di setiap waktu sepanjang Ramadhan ini, barulah kita akan merasai betapa besarnya kaitan Ramadan dengan pengampunan Allah SWT sehinggakan apabila bertemu Lailatulqadar yang diburu sepanjang Ramadan ini, Rasulullah SAW mengajarkan untuk meminta pengampunan Allah Al-Ghaffar. Diriwayatkan, Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatulqadar, apa yang aku perlu buat?” Baginda menjawab: “Bacalah, Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah dan yang suka mengampunkan, maka ampunilah daku.” (HRR Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita Harian “Mengejar Lailatulqadar mohon pengampunan”