Akidah merupakan perkara asas dalam Islam dan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan perjalan hidup seseorang. Akidah yang lemah mengakibatkan seseorang itu mudah terpesong dan dipengaruhi dengan ideologi-ideologi serta tingkahlaku yang negatif.
Sesungguhnya Allah S.W.T menurunkan wahyu kepada RasulNya dengan memberi fokus dan penumpuan yang serius terhadap persoalan akidah supaya setiap orang Islam selamat akidahnya dan sejahtera kehidupannya di dunia dan akhirat.
Sejarah telah membuktikan bahawa selama tiga belas tahun Nabi Muhammad S.A.W di Mekah, telah membentuk dan menanam akidah yang benar dalam kalangan sahabatnya. Kesannya, sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W memiliki akidah yang teguh, keyakinan yang tinggi terhadap Islam dan sentiasa bersedia menerima arahan dan perintah Rasulullah S.A.W untuk dilaksanakan.
Orang yang mempunyai akidah yang benar biasanya disebut orang yang beriman. Memandangkan iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, maka hendaklah kita berusaha menambah dan menyuburkan keimanan kita melalui amal soleh yang merangkumi ibadat khusus.
Akidah yang berfungsi akan menerangi seluruh jiwa seseorang dengan iman. Iman mencegah seseorang daripada terikat dengan penjara keduniaan yang merugikan. Iman membentuk seseorang menjadi insan teguh, bermotivasi tinggi, bahagia, tabah dan terus kuat saat menghadapi ujian.
Itulah keperibadian unggul ditunjukkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul sehingga sanggup menerima rintangan demi memperjuangkan agama. Marilah sama-sama kita kukuhkan akidah kerana akidah adalah tunjang kesatuan dan menjadi faktor diterima amalan seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) (QS Ibrahim: 24-25).
Sumber: JAKIM SABAH dan METRO 14 SEPTEMBER 2019.