Adat dalam kehidupan manusia apabila ada perbalahan atau perselisihan, pasti ada di antara kita yang ego dan tidak mahu memulakan salam perdamaian. Ini bukanlah sifat yang dianjurkan dalam Islam. Menjadi seorang yang pemaaf adalah sebaik-baik akhlak yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan akhlak pemaaf amat dicintai oleh Allah SWT.
Aisyah RA pernah ditanya tentang watak peribadi Rasulullah SAW, ia pun menjelaskan:
“Adalah Rasulullah SAW orang yang paling bagus akhlaknya: beliau tidak pernah kasar, berbuat keji, berteriak-teriak di pasar, dan membalas kejahatan dengan kejahatan. Malahan beliau pemaaf dan mendamaikan,” (HR Ibnu Hibban).
Allah SWT berfirman:
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (QS al-Syura: 40).
Sementara dalam ayat yang lain pula kita diperintahkan supaya menjadi seorang yang pemaaf seperti firman Allah SWT:
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” (QS al – A’raf: 199).
Islam agama ad – Din yang menganjurkan perdamaian sesama umatnya. Mengapa masih ada yang suka berkelahi dan bermasam muka? Sepatutnya dalam hal ini, apabila ada saja perselisihan faham dan kita sebagai umat Islam dianjurkan untuk mencari jalan perdamaian dengan cepat seperti bermusyawarah atau bersemuka. Ini adalah jalan yang tepat untuk mencari titik penyelesaian sebelum bermaaf-maafan.
Rasululullah SAW bersabda:
“Harta tidak berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambahkan kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya.” (HR Muslim).
Oleh itu, jangan malu untuk memulakan salam perdamaian hanya disebabkan ego sebaliknya saling bermaafanlah kita sesama manusia. Perbuatan itu amat dicintai Allah SWT bahkan akan diangkat darjatnya. Seharusnya dalam dunia yang penuh mencabar hari ini, kita harus mengukuhkan tali silaturahim kerana itulah sahaja jalan untuk menguatkan benteng perpaduan umat Islam dari dicerobohi oleh piha musuh.
Sumber: Sinar Harian (24 Januari 2020)