Home Kemanusiaan/Motivasi JAGA ADAB, CERMINAN KEIMANAN SESEORANG MUSLIM

JAGA ADAB, CERMINAN KEIMANAN SESEORANG MUSLIM

882
0

Dalam konteks memelihara adab dalam pergaulan seharian, peribahasa Melayu ada menyebut ‘orang memberi, kita berasa; orang berbudi, kita berbahasa’. Terdapat pandangan mengatakan pertuturan bukan sahaja boleh membayangkan keperibadian si penutur, malah berdasarkan pertuturan boleh juga diimbas jenis kerjaya, tahap pendidikan dan status sosial penutur dalam masyarakat. Antara cara bagi melestarikan keharmonian hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara itu ialah dengan menjaga adab, etika dan tingkah laku dalam pergaulan kerana ia merupakan salah satu dari cabang ketinggian akhlak dan keperibadian seseorang.

Sesungguhnya menghiasi diri dengan akhlak yang baik dan mulia itu adalah amat penting dan sangat dianjurkan dalam agama Islam bagi menjaga hubungan baik dalam kalangan masyarakat. Ini seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik orang mukmin itu adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR At – Tirmidzi).

Tanpa mengira latar belakang seseorang Muslim itu atau tahap pendidikannya, selagi ia mengaku beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, ia tidak akan meninggalkan aspek akhlak dalam kehidupannya selain mengamalkan perkara disyariatkan Islam. Dengan perkataan lain, orang beriman adalah individu mengiktiraf keesaan Allah SWT, melakukan setiap perkara (ibadah) yang diperintahkan dan meninggalkan perkara dilarang (maksiat); seterusnya menjaga akhlaknya termasuklah ketika bertutur, berkomunikasi dan bersosial dengan orang lain.

Malangnya, pada hari ini manusia mengalami krisis akhlak dan sosial, termasuk dalam berkomunikasi, terutama menerusi media sosial. Ia dapat dilihat menerusi cara manusia berinteraksi, terutama di media sosial. Ia cukup menjelaskan krisis akhlak sedang dihadapi manusia, termasuk orang Islam. Keadaannya amat berat dan tenat, walaupun tidak dinafikan masih tahu menjaga adab dan berbahasa.

Justeru, bagi menangani permasalahan ini, Muslim berkewajipan merenungi perintah Allah SWT menerusi firmannya bermaksud:

“Dan mereka diberi petunjuk (di dunia) dengan mengucapkan kata-kata baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji”. (QS Al – Hajj: 24).

Sesebuah tamadun bangsa akan menjadi rapuh sekiranya akhlak dan keperibadian tidak sama-sama diberi perhatian serius. Dalam hal ini, Islam mempunyai kaedah terbaik dalam bersosial dan berkomunikasi sesama manusia. Antara kaedah yang dianjurkan oleh Islam adalah menuturkan perkataan benar sepertimana perintah Allah SWT dan berkata perkara yang baik-baik sahaja atau diam. Ini seperti dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjaga adab, etika dan tingkah laku agar ukhuwah dan mahabbah sesama kita itu tetap kuat dan kukuh untuk selama-lamanya. Mudah-mudahan denga demikian kita dapat membina keamanan, kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara.

Sumber: Berita Harian (14 Oktober 2022)