Home Kemanusiaan/Motivasi JANGAN MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN (TAJASSUS) SEBALIKNYA PERHATIKANLAH KELEMAHAN DIRI DAN BERUSAHA...

JANGAN MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN (TAJASSUS) SEBALIKNYA PERHATIKANLAH KELEMAHAN DIRI DAN BERUSAHA UNTUK MEMPERBAIKINYA

2781
0

Di akhir zaman ini, banyak sekali terjadinya Tajassus (mencari kesalahan orang lain) di kalangan masyarakat. Tidak kira sama ada rakyat marhaen mahupun politikus, perkara ini seakan sudah dianggap hal yang biasa. Baik dari mencari-cari kesalahan hinggalah menyebarkannya ke dalam media sosial dengan tujuan mengaibkannya. Adakah kita sedar yang sebenarnya perbuatan ini ada kifarahnya? Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (HR Tirmizi).

Rasulullah SAW telah memberi peringatan bahawa sesiapa yang mencari-cari aib atau kelemahan orang lain, pasti Allah SWT akan membalasnya dengan balasan yang setimpal. Mengapa kita sebagai umat Islam masih lagi mahu mencari-cari kesalahan orang lain sedangkan di dalam diri kita sudah tersedia berbakul-bakul dosa dan aib yang Allah SWT masih lagi simpan? Sudah lah begitu, dengan bangganya kita mencanang-canangkan aib orang kepada masyarakat sehingga seluruh ahli keluarganya mendapat malu dan berkemungkinan menjadikan individu tersebut mengalami tekanan perasaan dan memilih untuk mengakhiri hidup mereka. Adakah kita masih mampu tersenyum puas sedangkan Allah SWT sudah mempersiapkan balasan untuk kita di akhirat sana?

Jangan asyik ber’tajassus’ dan dengan bangganya mencanang aib dan kelemahan orang lain sebaliknya lihatlah kesalahan yang ada di dalam diri kita dan berusaha untuk memperbaikinya. Pernah atau tidak selama ini kita terfikir mengapa kita sampai saat ini Allah SWT masih lagi menjaga aib dan dosa kita daripada tontonan ramai? Kerana Allah SWT masih memberi peluang kita untuk bertaubat dan memperbaiki kesilapan lampau. Seharusnya kita sebagai umat Islam mengambil peluang ini untuk bertaubat sesungguh-sungguhnya dan menyesali perbuatan kita serta meminta Allah memelihara aib kita. Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (QS Al – Hujurat: 11).

Justeru, perbaikilah kesilapan yang ada pada diri kita dan hentikanlah perbuatan mencari salah orang lain mulai daripada sekarang. Tidak ada seorang pun daripada kita yang maksum daripada melakukan kesalahan. Usahlah kita berlagak seperti tuhan dengan mengadili dan menghakimi mereka sedangkan diri kita sendiri tidak sempurna.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan