Home Kemanusiaan/Motivasi INSIDEN AL – QURAN DIBUANG KE DALAM LONGKANG PERTAHAN DAN PELIHARA KESUCIAN...

INSIDEN AL – QURAN DIBUANG KE DALAM LONGKANG PERTAHAN DAN PELIHARA KESUCIAN AL QURAN, KITAB PANDUAN UMAT ISLAM

371
0

Berberapa hari yang lalu, kita dikejutkan dengan satu insiden tentang penemuan beberapa buah kitab suci al – Quran yang dibuang secara sengaja oleh individu yang tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang di Kuala Lumpur. Insiden yang menimbulkan kekesalan umat Islam ini telah menyebabkan integriti agama Islam tercalar sama sekali. Apakah motif sebenar si pelaku untuk membuang al-Quran secara sengaja ke dalam longkang tersebut? Wujudkah sikap Islamophobia di negara ini sehingga kitab suci umat Islam dijadikan galang gantinya?

Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya cepat melatah. Ya, marah itu pasti tetapi untuk kita membalas perbuatan tersebut dengan sesuatu yang buruk itu bukanlah jalan yang sebenar. Ini kerana agama Islam telah mengajar kita untuk tidak membalas perbuatan buruk dengan sesuatu yang buruk. Agama Islam adalah agama yang aman dan rahmah ke seluruh alam. Dalam hal ini, apa yang sepatutnya kita lakukan adalah kembali memelihara kesucian al – Quran dari terus dirosakkan. Ini kerana tanggungjawab memelihara kesucian al – Quran adalah tanggungjawab bersama. Firman Allah SWT:

“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” (QS al – Waqiah: 77 – 80).

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam kita seharusnya lebih peka dengan kejadian seumpama ini agar tidak berlaku lagi di masa akan datang. Pelihara dan pertahankan kemuliaan serta kesucian al – Quran agar tidak menjadi bahan ejekan mahupun keganasan oleh pihak-pihak tertentu. Cukuplah dengan insiden-insiden pembakaran al – Quran yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di luar negara akibat dakwaan mereka yang mengatakan bahawa agama Islam ini teroris dan ekstremis kerana sikap Islamophobia mereka. Jangan sampai perkara ini merebak secara besar-besaran di negara kita, Malaysia.

Al – Quran adalah kitab yang suci dan sebagai penunjuk arah kehidupan yang lebih baik kepada umat Islam akhir zaman. Maka dengan itu, pelihara martabatnya agar tidak menjadi bahan “senda gurau” sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Allah SWT berfirman:

“Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (QS al – Baqarah: 1 – 3).

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).