Home Kemanusiaan/Motivasi JADIKAN MEDIA SOSIAL SEBAGAI PLATFOM UNTUK MELAKUKAN KEBAIKAN YANG BOLEH MENDEKATKAN...

JADIKAN MEDIA SOSIAL SEBAGAI PLATFOM UNTUK MELAKUKAN KEBAIKAN YANG BOLEH MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT BUKANNYA UNTUK MELAKUKAN DOSA DAN MAKSIAT

617
0

Penggunaan internet pada hari ini bukan lagi satu kehendak malah ianya boleh dianggap sebagai satu keperluan kepada masyarakat Malaysia. Ini kerana sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, segala keperluan harian dan urusan yang melibatkan kaunter seperti urusan bank dan sebagainya dipindahkan kepada urusan atas talian (online). Bukan itu sahaja, penggunaan internet di telefon bimbit juga dianggap satu keperluan apabila penggunaan aplikasi ‘MySejahtera’ mula dimandatorikan. Maka, ianya amat diperlukan oleh semua masyarakat.

Namun selari dengan penggunaan internet, penggunaan media sosial juga turut sama bersaing. Pada hari ini, kehidupan manusia seolah-olah tidak lengkap jika sehari tidak menjenguk atau memuatnaik sesuatu ‘content’ tentang kehidupan mereka tidak kiralah sama ada ia perkara yang baik atau sebaliknya. ‘Penyakit’ ini amat merbahaya dan mula merebak di kalangan masyarakat khususnya umat Islam. Seharusnya, dengan penggunaan media sosial yang semakin berkembang, adalah wajib untuk kita mengajak seseorang untuk melakukan kebaikan. Menggunakan media sosial untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan adalah salah satu cara yang terbaik dek kerana ramai di kalangan manusia pada hari ini menggunakan media sosial sebagai tempat panduan. Firman Allah SWT:

Dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (QS al –Fussilat: 33).

Oleh itu, gunakanlah platform media sosial ini ke jalan yang benar dan lebih mendekatkan diri kita dengan kebaikan dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ada banyak rujukan yang boleh dijadikan panduan untuk kita memulakan sesuatu kebaikan. Sebagai contoh channel Tarbiah Sentap atau channel para pendakwah terkenal untuk kita jadikan bahan rujukan sebelum memulakan suatu ‘content’. Adalah baik untuk memulakan sesuatu kebaikan dan mengajak orang lain melakukan kebaikan bersama-sama kerana pahala kita akan sentiasa mengalir kerana amalan yang kita lakukan akan ditiru oleh orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (HR Muslim).

Sumber: HarakahDaily (5 Ogos 2020)