Lemah lembut adalah satu sifat yang terpuji, ia bukanlah sifat negatif yang dianggap sesetengah orang ramai sebagai perilaku yang bertentangan dengan norma kemanusiaan dan dilarang oleh agama Islam. Lemah lembut juga bukanlah sifat negatif seperti pengecut atau bacul, tidak salah rasanya untuk bersikap lemah lembut kerana Rasulullah SAW sendiri bersikap lemah lembut kepada para musuh Islam semasa mereka di dalam tahanan walaupun semasa berperang para musuh ini bersikap barbar terhadap bala tentera Islam.
Sifat lemah lembut yang ada pada diri manusia itu bertujuan untuk memperindahkan akhlaknya. Lembut tidak bererti kita lemah. Lihat pada sifat air yang lembut, ia mampu memadamkan api. Malah, air yang lembut juga boleh menjadi tsunami yang dahsyat sehingga menghancurkan serta merosakkan satu kawasan atau negeri. Dari ‘Aisyah RA isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR Muslim).
Allah SWT amat mencintai hambaNya yang bersifat lemah lembut kepada semua makhluk. Sebab itu, antara sifat yang melengkapkan kesempurnaan zat, kemuliaan serta keperibadian akhlak Nabi Muhammad SAW adalah sifat lemah- lembut yang ada dalam diri Baginda. Memang benar, kita tidak mampu untuk mengikut sifat dan keperibadian Rasulullah SAW, tetapi sekurangnya kita boleh mempraktikkan sifat tersebut sedikit demi sedikit. Pasti lama – kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan secara tidak langsung kita mampu mengurangkan sifat amarah dan kebencian. Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah berkata kepada al-Asyjij:
“Kamu mempunyai dua sifat yang membuat Allah SWT dan rasul-Nya suka: Lemah-lembut dan murah hati.” (HR Muslim).
Oleh itu, marilah kita mula ‘reset’ diri kita untuk menjadi seorang Muslim yang sejati dengan mengamalkan sifat lemah lembut kepada semua makhluk. Allah SWT Maha Lembut kepada hamba-Nya. Dia juga mencintai orang yang memiliki sikap lemah lembut sama ada dalam pertuturan, penulisan juga perbuatan. Sikap keras dan kasar akan menyebabkan orang menjauh dari kebenaran. Bahkan, orang akan melihat agama Islam dan penganutnya amat gemar akan kekerasan. Sedangkan Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS agar menasihati Firaun dengan lemah lembut. Dalam firmanNya:
Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut.” (QS At – Thaha: 44).
Sumber: Harian Metro (26 Mac 2019)