Home Kemanusiaan/Motivasi KEISTIMEWAAN PUASA SUNAT ENAM SYAWAL

KEISTIMEWAAN PUASA SUNAT ENAM SYAWAL

47
0

Tibanya bulan Syawal, semua umat Islam pasti tersenyum kegembiraan dalam meraikan bulan kemenangan ini setelah sebulan mengerjakan ibadah puasa wajib di bulan Ramadan. Kesemua daripada kita pasti akan merindui suasana bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan digandakan pahala amalan serta keberkatan dari Allah SWT.

Namun, berakhirnya bulan Ramadan, bukan bererti pengakhiran kita untuk tidak meneruskan ibadah puasa dan salah satunya yang dituntut adalah dalam mengerjakan ibadah puasa enam di bulan Syawal. Puasa enam Syawal merupakan amalan puasa sunat yang dilakukan pada enam hari dalam bulan Syawal selepas Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Puasa 6 Syawal telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW.

Puasa enam Syawal merupakan amalan sunat yang sangat dianjurkan bagi melengkapkan pahala puasa Ramadan. Ia juga bertujuan untuk menghidupkan sunnah Nabi SAW serta melatih ketaatan melaksanakan ibadah puasa. Antara fadhilat atau kelebihan sekiranya kita melaksanakan ibadah sunat puasa enam Syawal adalah:

1) Mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa setahun. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.” (HR Muslim).
2) Menampung kekurangan puasa Ramadan.
3) Meneruskan momentum ibadah Ramadan.
4) Menjadi pelengkap ibadah fardhu.
5) Allah SWT menjanjikan syurga buat yang rajin berpuasa. Sabda Rasulullah SAW:
“Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang disebut Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, dan tidak ada seorang pun selain mereka yang akan memasukinya.” (HR Bukhari & Muslim).

Mengerjakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dapat membersihkan diri dari dosa dan kesalahan. Ia juga dapat melatih kesabaran, meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berusaha untuk melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin mengikut tuntutan agama. Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)