Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM MELARANG SIKAP ‘GHULUW’ (BERLEBIH-LEBIHAN) DALAM BERAGAMA KERANA IA BOLEH MEMBAWA KEPADA...

ISLAM MELARANG SIKAP ‘GHULUW’ (BERLEBIH-LEBIHAN) DALAM BERAGAMA KERANA IA BOLEH MEMBAWA KEPADA FAHAMAN EKSTREMISME YANG MENYESATKAN

4558
0

Sikap ‘ghuluw’ (melampaui batas atau berlebih-berlebihan) dalam agama adalah sikap yang tercela dan dilarang oleh syariat. Sikap ini tidak akan mendatangkan kebaikan bagi pelakunya; juga tidak akan membuahkan hasil yang baik dalam segala urusan. Terlebih lagi dalam urusan agama. Banyak sekali dalil-dalil al-Quran dan Sunnah yang memperingatkan dan mengharamkan ‘ghuluw’ atau sikap melampaui batas tersebut. Allah SWT berfirman:

“Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlahkamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”. (QS Al-Ma’idah:77).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

“Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar….” (QS An-Nisa’: 171).

Namun sejak kebelakangan ini, semakin ramai umat Islam mula mencari kembali agama mereka dengan mempelajari ilmu-ilmu Islam dari kebanyakan guru-guru agama yang ditauliahkan. Ini termasuklah juga golongan berpengaruh seperti selebriti-selebriti semakin mula mencari kembali identiti Islam mereka dengan mengikuti kumpulan-kumpulan jemaah dalam kumpulan dakwah mereka. Namun, dalam mencari ilmu, ada sesetengah perkara yang harus dijaga sempadannya agar tidak berlebih-lebihan atau disebut sebagai ‘ghuluw’. Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai seluruh manusia, hindarilah ghuluw (pelampauan batas) dalam keberagamaan. Kerana yang membinasakan (umat) sebelum kamu adalah ghuluw dalam keberagamaan.” (HR Ibnu Majah).

Tidak salah untuk kita mendalami ilmu agama kerana itu sememangnya fitrah kita sebagai umat Islam. Akan tetapi apa yang menjadi salahnya adalah kita berperilaku melampau dalam mempelajarinya. Sebagai contoh, tindakan berani mempersoalkan hukum-hakam agama yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Ya, ramai di antara kita yang baru “tujuh kali pergi usrah sudah pandai tepis fatwa”. Menganggap pandangan mereka lebih berilmiah, lebih jitu dan padu dari pandangan agamawan dan mufti. Malah, ada juga keadaan mereka yang ‘ghuluw’ ini sampai ke satu tahap yang amat serius sehingga menyalahkan pandangan alim ulama yang tidak sehaluan dengan mereka dan mengkafirkan orang Islam yang lain. Maaf bercakap, itu bukan pandangan ilmiah melain nafsu semata-mata. Nafsu beragama yang melampau hingga ada yang menganggap diri mereka dan pandangan mereka di dalam isu hukum-hakam agama setanding dengan wali Allah SWT. Nauzubillahiminzalik! Bukankah itu termasuk dalam perkara yang membatalkan iman?

Oleh itu, hendaklah berhati-hati supaya iman sentiasa terpelihara dan tidak terjebak dalam perbuatan menjadikan kita termasuk golongan yang dikategorikan berpaling daripada Islam. Salah satu punca seorang melakukan perkara yang menyebabkan iman mereka terbatal ialah kejahilan. Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu supaya dapat menegakkan kebenaran dan melepaskan diri daripada kejahilan. Dan paling penting ialah ilmu yang dipelajari hendaklah diamalkan. Sikap ghuluw dalam agama adalah sikap yang tercela dan dilarang oleh syariat. Sikap ini tidak akan mendatangkan kebaikan bagi pelakunya, juga tidak akan membuahkan hasil yang baik dalam segala urusan lebih-lebih lagi di dalam urusan agama.

Sumber: Laman web Almanhaj (https://almanhaj.or.id/3435-fenomena-ghuluw-melampaui-batas-dalam-agama.html)