Zaman kini adalah sangat mudah melihat umat Islam yang menganut nilai-nilai Barat. Tambahan lagi apabila mereka yang berada dalam golongan professional mahupun dalam dunia ‘glamour’ lebih mudah menggunakan pengaruh yang ada untuk melontarkan buah fikiran tanpa batasan agama dan seterusnya mempengaruhi pengikutnya.
Perkara tersebut adalah merujuk kepada golongan liberal yang dilihat menjadi “duri dalam daging” buat masyarakat Islam masa kini. Sebagai contoh mereka yang berfahaman liberal ini sering mendesak kerajaan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah seperti hukuman khalwat dan minum arak yang dilakukan oleh umat Islam, membenarkan penukaran jantina serta hukum hudud mesti ditentang habis-habisan.
Begitulah usaha bersungguh-sungguh mereka lakukan untuk melemahkan Islam dengan memasukkan nilai liberalisme dan kemanusiaan Barat dalam ajaran Islam dan juga akidah umat Islam seolah-olah memperlihatkan perjuangan yang dibawa oleh mereka adalah perjuangan benar, namun adalah sesat dan menyesatkan. Hasrat ini diungkapkan oleh seorang orientalis bernama Gibb yang menyebut ‘reformasi adalah program utama dari liberalisme Barat dan mengharapkan agar orientasi tersebut sebagai kaedah satu cara baru untuk memasukkan nilai-nilai liberalisme dan humanisme dalam diri umat Islam.
Secara jelasnya fahaman liberal adalah pemikiran Barat yang cuba masuk dalam aliran pemikiran Islam. Pemikiran ini menafikan wujudnya hubungan antara agama dengan kehidupan. Golongan ini menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan hingga ia perlu dibuang.
Pemikir dan perintis fahaman liberal menyusun teras fahaman di luar garisan agama sehingga berani menyatakan ianya ada hubungan dengan agama sedangkan jauh menyimpang daripada ajaran agama sebenar sama ada dari segi akidah, syariat mahupun akhlak Islam. Namun, amat menghairankan apabila wujudnya golongan yang mempertahankan fahaman liberal ini dan menormalisasikan terma ‘Islam Liberal’ sedangkan ianya secara jelas bertentangan dengan Islam.
Sumber: Berita Harian – 05 OGOS 2017, Berita Harian – 17 DIS 2015