Seorang penulis mahsyur Jaringan Islam Liberal (JIL), Indonesia, Luthfi Assyaukanie menyatakan bahawa sebagai sebuah gerakan pembaharuan pemikiran keagamaan, Islam liberal mempunyai dua musuh iaitu pemikiran konservatif agama dan fundamentalisme.
Konservatif agama bermaksud suatu pemahaman sempit terhadap agama yang selalu skeptik dan menolak sebarang pembaharuan, manakala fundamentalisme ialah satu sikap pemaksaan pandangan terhadap kelompok lain dengan cara kekerasan.
Bagi beliau, kedua-dua aliran konservatif dan fundamentalis ini merupakan ‘antitesis’ kepada gerakan Islam liberal yang amat menitikberatkan kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, hak asasi manusia, kebebasan dan lain-lain nilai yang menjadi rukun kepada aliran liberal.
Bahkan mereka berfikiran liberal ini menyatakan ijtihad yang dibuat oleh ulama hanya akan membatasi kemajuan kaum muslim. Persoalan utama kelompok liberal adalah berkenaan manusia diciptakan oleh Allah dalam keadaan bebas. Kebebasan adalah anugerah terpenting yang diberikan Tuhan kepada manusia, oleh yang demikian manusia bebas untuk bersuara dan berhak untuk melakukan apa sahaja atas kapasiti hak individu yang tidak seorang pun berhak untuk mencegahnya.
Berdasarkan pemikiran kaum liberal itu, kadangkala tidak faham juga apa yang cuba dibawa dan diangkat sehingga mahu mempengaruhi orang ramai terhadap ideologinya. Sedangkan Islam tidak pernah melarang umatnya untuk bebas walaupun terdapat batasnya dalam kebebasan berdasarkan hukum halal haram. Namun, sebagai umat Islam perlu percaya bahawa ganjaran ‘kebebasan’ itu pasti akan dinikmati di akhirat kelak oleh kerana keterbatasan kita di dunia ini. Seharusnya kita bersyukur dengan nikmat yang dikurnia kerana tidak sempurna kehidupan kita tanpa keredhaan Allah.
Sumber: Sumber: al-Bayan, siri 12 – YB Senator Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad al-Bakri