Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap daripada kita mempunyai satu sifat semuajadi yang sangat murni di dalam diri iaitu ingin membantu insan lain yang lebih memerlukan. Sifat saling membantu ini adalah sifat yang sangat dianjurkan di dalam agama Islam seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (QS al – Ma’idah: 2).
Dalam keadaan yang kritikal pada musim pandemik covid-19 ini, memang semua umat manusia memerlukan bantuan daripada manusia lainnya. Ada kalanya kita bertemu keadaan orang lain yang sangat memerlukan bantuan. Maka, adalah sangat elok sekiranya kita dapat membantu meringankan beban mereka meskipun sedikit. Mungkin ada orang datang menemui kita dan menceritakan masalah yang dilaluinya, maka kita bantu dengan memberi nasihat yang berguna kepadanya. Tidak kurang juga ada yang memerlukan bantuan dari segi material, maka kita usahakanlah semampu diri kita untuk membantu mereka.
Akan tetapi, bantuan yang kita hulurkan itu janganlah cuma sekali sahaja. Lakukanlah secara istiqomah dan semampu kita kerana Allah sangat menyukai hambaNya yang melakukan sesuatu amal kebaikan secara istiqomah meskipun sedikit. Mungkin kita boleh memberi bantuan dari segi tenaga, nasihat atau sokongan moral kepada mereka yang memerlukan. Apatah lagi dengan keadaan yang tidak menentu pada ketika ini di mana setiap daripada kita mahu bangkit setelah mengalami kejatuhan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Ingatlah, Muslim yang sentiasa istiqomah dalam bantu membantu sesama Muslim lainnya akan mendapat keredhaan Allah SWT dan ganjaran pahala yang besar kerana telah melepaskan kesusahan orang lain tanpa perlu adanya balasan. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim).
Sumber: Harian Metro (2 Disember 2019)