Home MURTAD BENTENGI DIRI DARIPADA GEJALA MURTAD DENGAN MENJAGA SOLAT KERANA SOLAT ADALAH TIANG...

BENTENGI DIRI DARIPADA GEJALA MURTAD DENGAN MENJAGA SOLAT KERANA SOLAT ADALAH TIANG AGAMA DAN PERISAI BAGI SETIAP MUSLIM

1064
0

Dalam konteks Malaysia dan sebahagian besar dari alam Melayu, kemelayuan perlu diakrabkan dengan Islam, Melayu tidak harus dipisahkan dari Islam. Rapatnya hubungan Melayu dan Islam boleh diibaratkan seperti hubungan tradisi Judaeo-Kristian dengan bangsa-bangsa Eropah. Keakraban ini boleh dicontohkan seperti kelayakan agama Kristian bermazhab Protestan yang wajib ada pada seorang waris takhta di Britain.

Oleh itu, gerakan Kristianisasi dianggap sangat sensitif di Malaysia kerana ia melibatkan agama dan bangsa serta dikaitkan dengan Perlembagaan yang sedia termaktub di Malaysia lebih-lebih lagi melibatkan bangsa Melayu yang merupakan kaum majoriti di Malaysia. Mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, setiap individu Melayu di negara ini adalah beragama Islam dan merupakan agama rasmi negara.

Sabda Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:
“Akan terungkai ikatan Islam satu persatu dimulai dengan gugurnya hukum perundangan Islam dan diakhiri dengan keguguran sembahyang”.

Berlandaskan kepada sabda Nabi SAW tersebut, kini kita dapat melihat ramai orang Islam yang meninggalkan solat. Inilah antara faktor yang menyebabkan gejala murtad semakin berkembang di Malaysia. Umat Islam yang meninggalkan solat sudah tidak ada lagi hubungannya dengan Allah SWT sehingga amat mudah bagi gejala negatif meresap dalam diri termasuk pengaruh untuk menjadi murtad samada daripada gerakan liberalisme, pluralisme, sekularisme, ateisme dan Kristianisasi. Sedangkan solat adalah tiang agama yang menjadi perisai untuk membentengi diri seseorang Islam daripada gejala maksiat termasuklah gejala murtad yang makin berleluasa sekarang ini. Rasulullah SAW bersabda:”Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad.” (HR at-Tarmizi).

Dalam hadis lain, daripada Ibn Umar RA, beliau berkata bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya apakah perkara yang paling disukai oleh Allah SWT di dalam Islam? Rasulullah SAW bersabda: “Solat pada waktunya, barangsiapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama.” (HR al-Baihaqi).

Solat dapat mencegah seseorang Muslim daripada perbuatan keji dan mungkar sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (QS al-Angkabut: 45).

Ulama Islam ada menyatakan perbezaan antara seorang Muslim dan seorang kafir dari segi amalannya adalah solat. Jadi apakah bezanya diantara Muslim yang engkar untuk solat dengan orang kafir? Hal inilah yang perlu kita fikirkan sebelum berbicara cara-cara menangani gejala murtad.

Sekiranya Fiqh Perundangan Islam itu dikaji, terdapat cara-cara khusus yang telah digariskan oleh Islam untuk menyekat gejala syirik dan murtad ini daripada melanda umat Islam. Namun sayangnya sistem perundangan Islam diketepikan dan bidangkuasanya seolah-olah terbatas dan mempunyai banyak kekangan untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan orang-orang kafir menggunakan kesempatan daripada kelemahan perundangan Mahkamah Syariah untuk mempersenda dan memporak-perandakan umat Islam dan Agama Islam itu sendiri. Jadi, siapakah yang bertanggungjawabmenyelamatkan umat Islam dan Agama Islam? tepuk dada tanya iman.

Sumber: Journal of Islamic Social Sciences and Humanities, VOL. 15 (OCT.) 2018dan https://malay.bismikaallahuma.org/2005